Skip to main content

Dunia

Letupan kecil di bandar Rakhine semasa kunjungan Aung San Suu Kyi

Tiga letupan kecil berlaku di sebuah bandar selatan Rakhine di Myanmar pada Khamis (18 Dis) sejurus sebelum pemimpin awam Aung San Suu Kyi mendarat di sana dalam satu lawatan yang jarang sekali berlaku ke wilayah dilanda konflik itu, menurut seorang pegawai tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Letupan kecil di bandar Rakhine semasa kunjungan Aung San Suu Kyi

Cik Aung San Suu Kyi. (Gambar: AFP/Manan Vatsyayana)

Diterbitkan : 19 Dec 2019 06:40PM Dikemas Kini : 19 Dec 2019 06:44PM

YANGON: Tiga letupan kecil berlaku di sebuah bandar selatan Rakhine di Myanmar pada Khamis (18 Dis) sejurus sebelum pemimpin awam Aung San Suu Kyi mendarat di sana dalam satu lawatan yang jarang sekali berlaku ke wilayah dilanda konflik itu, menurut seorang pegawai tempatan.

Letupan itu berlaku di bandar Manaung yang selalunya tenang, di sebuah pulau dekat pantai barat Myanmar di mana Cik Suu Kyi dijadual merasmikan sebuah loji tenaga suria.

"Terdapat tiga letupan, namun tiada kecederaan," kata jurucakap pemerintah rantau Rakhine, Win Myint, kepada AFP.

Beliau berkata ia berlaku sebelum ketibaan Aung San Suu Kyi. Namun oleh kerana mereka berada di bahagian lain bandar itu, acara diteruskan seperti yang dirancang dan pemimpin Myanmar itu sudahpun meninggalkan kawasan tersebut dengan selamat dalam penerbangan ke Yangon.

"Ini tidak pernah berlaku di Manaung sebelum ini."

Setakat ini belum ada kumpulan yang mendakwa bertanggungjawab meletakkan bom-bom kecil itu, yang meletup di tepi jalan, seperti gambar yang ditunjukkan media tempatan.

Kawasan tersebut secara amnya tidak terjejas oleh pergolakan di utara, di mana tentera Myanmar sedang bergelut dalam pertikaian yang semakin mengganas dengan Tentera Arakan (AA).

Kumpulan pemberontak itu mendakwa berjuang mendapatkan lebih banyak autonomi dan hak untuk kaum etnik Rakhine Buddha dan menagih simpati daripada ramai penduduk tempatan yang sekian lama rasa terpinggir di negara majoriti Bamar.

Namun puluhan ribu daripada mereka sudah melarikan diri dari rumah masing-masing sepanjang tahun lalu dan berpuluh-puluh orang awam terjerat di tengah-tengah pertempuran.

Kedua-dua pihak juga dituduh melakukan penderaan.

Kawasan di utara wilayah Rakhine adalah tempat berpusatnya tindakan keras tentera yang mengorbankan nyawa dua tahun lalu, memaksa sejumlah 740,000 Muslim Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Lawatan pada Khamis itu hanya kali ketiga Cik Aung San Suu Kyi ke Rakhine sejak krisis Rohingya meletus pada 2017.

LAPORAN LAIN:

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita