Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Letupan Istanbul: wanita Syria diberkas, Turki tuduh kumpulan pengganas bertanggungjawab

Anggaran Waktu Membaca:
Letupan Istanbul: wanita Syria diberkas, Turki tuduh kumpulan pengganas bertanggungjawab

Istiklal Avenue dibuka semula awal Isnin kepada umum. (Gambar: AFP/Yasin AKGUL )

Diterbitkan : 15 Nov 2022 12:17AM Dikemas Kini : 15 Nov 2022 12:18AM
ISTANBUL: Turki pada Isnin (14 Nov) menuduh seorang wanita Syria meletakkan bom yang membunuh enam orang di Istanbul dan menuding jari ke arah Parti Pekerja Kurdi (PKK) melancarkan serangan tersebut.

Dua kanak-kanak perempuan, berusia sembilan dan 15 tahun, adalah antara yang terkorban apabila bom itu meletup sejurus selepas 1300 GMT (pukul 9.00 malam waktu Singapura) pada Ahad di Istiklal Avenue, iaitu kawasan bagi butik-butik bijak atau 'smart boutiques' dan konsulat-konsulat Eropah. Lebih 80 orang yang lain cedera disebabkan serangan tersebut.

"Orang yang meletakkan bom tersebut sudah diberkas," kata Menteri Ehwal Dalam Negara, Suleyman Soylu menerusi satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Anadolu awal Isnin.

"Menurut dapatan kami, kumpulan pengganas PKK bertanggungjawab (atas serangan itu)," kata Encik Suleyman.

PKK, yang disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas oleh Ankara dan sekutunya dari Barat, memulakan pemberontakan yang membawa maut bagi pemerintahan sendiri Kurdi di tenggara Turki sejak 1980an.

Ia bagaimanapun menafikan sebarang peranan dalam serangan terbaru itu.

"Tiada kaitan antara PKK dengan letupan semalam di Istanbul," tegas seorang jurucakap kumpulan pengganas itu kepada AFP.

Seorang pegawai Turki memberitahu AFP bahawa dapatan awal menunjukkan "unit-unit dalam kalangan sebuah pertubuhan belia yang ada kaitan dengan PKK."

Polis, seperti yang dipetik oleh stesen televisyen NTV, menyatakan suspek utama adalah seorang wanita Syria yang bekerja dengan militan Kurdi. Seramai 46 orang ditahan, tambah polis.

Rakaman polis yang dikongsi dengan media Turki menunjukkan seorang wanita muda berpakaian baju ungu ditahan di sebuah flat di Istanbul.

Polis, seperti dinukil NTV, mendedahkan nama wanita berkenaan sebagai Alham Albashir dan menyatakan dia diberkas pada pukul 2.05 pagi (7.50 pagi waktu Singapura) di luar bandar Istanbul. Media tempatan melaporkan wanita itu merupakan pegawai risikan terlatih PKK dan berusia 23 tahun.
Sumber : AFP/NK/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa