Letupan di masjid Kabul ragut lebih 50 jiwa
Satu letupan kuat meragut nyawa lebih 50 jemaah selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Kabul, menurut ketua masjid berkenaan, lapor Reuters.

Anggota Taliban berkawal di lokasi letupan di Masjid Khalifa Sahib. (Gambar: AFP)
KABUL: Satu letupan kuat meragut nyawa lebih 50 jemaah selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Kabul, menurut ketua masjid berkenaan, lapor Reuters.
Letupan itu adalah serangan terbaru yang menyasarkan orang awam di Afghanistan semasa bulan Ramadan.
Timbalan jurucakap Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Besmullah Habib, berkata letupan berlaku di Masjid Khalifa Sahib di barat ibu kota pada awal petang dengan angka rasmi kematian melibatkan 10 jemaah.
Serangan itu berlaku ketika jemaah di masjid Sunni tersebut berkumpul selepas solat Jumaat.
Ketua masjid, Sayed Fazil Agha, berkata individu yang dipercayai pengebom nekad menyertai mereka dalam perhimpunan itu dan meletupkan bahan letupan.
"Asap hitam berkepul dan berlegar di seluruh kawasan, mayat ada di mana-mana," kata beliau kepada Reuters sambil menambah bahawa anak saudara lelakinya antara mangsa yang terkorban.
Seorang penduduk Mohammad, Sabir berkata beliau melihat orang yang cedera dibawa masuk ke dalam ambulans.
"Letupan itu sangat kuat, saya fikir gegendang telinga saya pecah," katanya.
Sumber kesihatan menyatakan hospital menerima 66 mayat dan 78 mangsa yang cedera sejauh ini.
Seorang jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan itu dan memberi jaminan dalangnya akan diburu serta dihukum.
Sehingga kini masih tidak jelas siapa yang bertanggungjawab atas letupan tersebut.
Puluhan orang awam terbunuh di Afghanistan sejak beberapa minggu kebelakangan ini. ISIS mengaku bertanggugjawab atas beberapa serangan yang dilancarkan.
Hospital Kecemasan menyatakan pada bulan April sahaja, ia sudah merawat lebih 100 pesakit yang cedera dalam serangan di Kabul.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.