Letupan di lapangan terbang Kabul disyaki serangan bom nekad, kata pegawai AS
Satu insiden yang disyaki letupan bom nekad berlaku di lapangan terbang Kabul pada Khamis (26 Ogos), meragut nyawa sekurang-kurangnya 13 orang termasuk kanak-kanak, kata seorang pegawai Taliban.
Asap dapat dilihat susuli letupan di lapangan terbang Kabul. (Gambar: AP)
WASHINGTON: Satu insiden yang disyaki letupan bom nekad berlaku di lapangan terbang Kabul pada Khamis (26 Ogos), meragut nyawa sekurang-kurangnya 13 orang termasuk kanak-kanak, kata seorang pegawai Taliban.
Demikian selepas Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya menggesa penduduk Afghanistan untuk beredar dari kawasan tersebut ekoran ancaman daripada ISIS.
Pegawai tersebut berkata bahawa ramai anggota Taliban mengalami kecederaan.
Setiausaha Media Pentagon John Kirby mengesahkan dalam satu catatan Twitter bahawa satu letupan berlaku di luar lapangan terbang di ibu kota Afghanistan itu.
Seorang pegawai Amerika Syarikat memberitahu Reuters bahawa terdapat mangsa-mangsa letupan tetapi belum jelas berapa ramai yang cedera. Seramai tiga anggota perkhidmatan Amerika Syarikat termasuk dalam kalangan mereka yang mengalami kecederaan, menurut pegawai itu, memetik maklumat awal.
Dua pegawai Amerika Syarikat berkata ia kelihatan seperti letupan bom nekad.
Belum ada banyak perincian tentang serangan itu tetapi negara-negara Barat sudahpun memberi amaran tentang kemungkinan berlaku serangan oleh militan-militan ISIS.
Taliban, yang sedang mengawal perkarangan di luar lapangan terbang itu adalah musuh sekutu ISIS cabang Afghanistan yang dikenali sebagai Khilafah Islam Khorasan (ISIS-K).
"Para pengawal kami juga sedang mempertaruhkan nyawa mereka di lapangan terbang Kabul. Mereka juga berdepan ancaman daripada ISIS," kata seorang pegawai Taliban yang tidak mahu namanya didedahkan, yang bercakap sebelum letupan berlaku.
Operasi memindahkan warga asing dan keluarga mereka serta sebilangan penduduk Afghanistan sedang dijalankan secara besar-besaran sejak sehari sebelum Taliban menakluki Kabul pada 15 Ogos, sekali gus menjamin kuasanya di seluruh negara sedang askar-askar Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya berundur.
Presiden Joe Biden sudahpun dimaklumkan tentang letupan itu menurut seorang pegawai Rumah Putih. Presiden Biden pada ketika itu sedang mengadakan mesyuarat bersama para pegawai keselamatan tentang situasi di Afghanistan, di mana Amerika Syarikat sedang dalam fasa-fasa terakhir bagi mengakhiri peperangan 20 tahun ketika letupan itu pertama kali dilaporkan, menurut seorang yang dekat dengan mengenai perkara itu.
Amerika Syarikat berpusu-pusu untuk menjalankan operasi pemindahan sebelum tenteranya berundur sepenuhnya dari negara tersebut pada 31 Ogos.
Dalam satu makluman yang dikeluarkan pada Rabu (25 Ogos), Duta Amerika Syarikat di Kabul menasihati para rakyatnya supaya mengelak daripada berangkat ke lapangan terbang tersebut dan menyatakan bahawa mereka yang sudahpun berada di pintu-pintu masuk seharusnya meninggalkan tempat itu dengan serta-merta sambil merujuk kepada "ancaman keselamatan" tanpa memetik sumbernya.
Seorang ahli diplomat Barat di Kabul berkata kawasan-kawasan di luar pintu-pintu lapangan terbang itu "amat sesak" meskipun amaran tersebut sudah diberikan.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.