Skip to main content

Dunia

Letupan bom kereta dan tembakan bunuh 14 pegawai polis Pakistan

Anggaran Waktu Membaca:
Letupan bom kereta dan tembakan bunuh 14 pegawai polis Pakistan

Pegawai polis dan penduduk tempatan memeriksa tapak serangan nekad waktu malam di sebuah pos keselamatan di Fatah Khel, di Bannu, sebuah daerah di wilayah Khyber Pakhtunkhwa Pakistan yang bersempadan dengan Afghanistan pada 10 Mei 2026. (Gambar: AP/Aamad Khattak)

Diterbitkan : 10 May 2026 05:49PM Dikemas Kini : 10 May 2026 05:51PM
PAKISTAN: Letupan bom kereta di sebuah pos polis di barat laut Pakistan, diikuti serangan hendap terhadap anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian telah membunuh sekurang-kurangnya 14 pegawai, kata polis pada hari Ahad (10 Mei).

Imej selepas serangan itu pada hari Sabtu menunjukkan struktur berkenaan runtuh sama sekali dengan batu bata, bangkai kereta yang hangus dan kenderaan yang remuk berselerak di sekitar kawasan itu.

Pegawai polis Sajjad Khan berkata dalam satu kenyataan bahawa mayat 14 pegawai itu ditemui di bawah runtuhan pos kawalan itu, manakala tiga anggota lain yang ditemui masih hidup telah dikejarkan ke hospital.

Seorang pegawai polis yang meminta namanya tidak didedahkan kerana beliau tidak dibenarkan bercakap dengan media berkata militan tersebut mula-mula merempuh pos tersebut dengan kereta yang berisi bahan letupan sebelum memasuki premis tersebut dan mula menembak mana-mana pegawai yang masih hidup.

"Anggota penguatkuasa undang-undang lain dihantar untuk membantu polis, tetapi pengganas menyerang hendap mereka dan meragut nyawa beberapa lagi pegawai," katanya.

Sumber polis berkata pihak militan juga menggunakan dron dalam serangan itu.

Ambulans dari agensi penyelamat dan hospital awam bergegas ke tempat kejadian, dengan para pegawai mengatakan keadaan darurat telah diisytiharkan di hospital pemerintah di Bannu.

Sebuah perikatan militan yang dikenali sebagai Ittehad-ul-Mujahideen mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Serangan kumpulan militan berpotensi untuk membangkitkan semula pertempuran di sepanjang sempadan Pakistan dengan Afghanistan. Pertempuran terburuk dalam beberapa tahun meletus antara dua negara yang pernah bersekutu itu pada bulan Februari, dengan serangan udara Pakistan di dalam Afghanistan yang Islamabad dakwa menyasarkan kubu kuat militan.

Pertempuran itu sudah reda, dengan pertempuran kecil sekali-sekala meletus di sepanjang sempadan, tetapi tiada gencatan senjata rasmi dilaksanakan.

Islamabad menyalahkan Kabul yang dituduh melindungi anggota militan yang menggunakan tanah Afghanistan untuk merancang serangan di Pakistan.

Pihak Taliban menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan militan di Pakistan adalah masalah dalaman.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita