Skip to main content

Dunia

Letupan Beirut: Gerakan mencari, menyelamat masih dijalankan

Genap sebulan selepas berlaku tragedi letupan dahsyat di Lubnan, gerakan mencari dan menyelamat seorang mangsa yang mungkin masih hidup, sedang diteruskan di ibu kota, Beirut.

Anggaran Waktu Membaca:
Letupan Beirut: Gerakan mencari, menyelamat masih dijalankan

Pemandangan menunjukkan tapak letupan di kawasan pelabuhan Beirut, Lubnan, pada 5 Ogos 2020. (Gambar: Issam Abdallah/REUTERS)

Diterbitkan : 05 Sep 2020 07:11PM Dikemas Kini : 05 Sep 2020 07:13PM

BEIRUT: Genap sebulan selepas berlaku tragedi letupan dahsyat di Lubnan, gerakan mencari dan menyelamat seorang mangsa yang mungkin masih hidup, sedang diteruskan di ibu kota, Beirut.

Pasukan penyelamat bertungkus lumus menggali tapak runtuhan bangunan selepas alat sensor mengesan apa yang dipercayai sebagai degupan jantung manusia.

Hari ini (5 Sep) adalah hari ketiga berturut-turut kerja penggalian dijalankan, yang kebanyakannya dilakukan dengan tangan.

"Kami tidak akan meninggalkan tapak ini sehingga kami selesai menggali seluruh runtuhan itu, meskipun ada ancaman sebuah lagi bangunan akan runtuh," menurut pegawai pasukan pertahanan Encik Qassem Khater.

Para pegawai Lubnan berkata risiko mencari mangsa-mangsa yang masih hidup di bawah timbunan runtuhan itu adalah amat tipis.

Operasi mencari dan menyelamat itu disokong oleh para pakar dari Chile, Perancis dan Amerika Syarikat kerana Lubnan tidak memiliki perkakas dan kepakaran untuk menangani operasi berskala sedemikian.

Sekurang-kurangnya 200 orang terkorban dalam letupan dahsyat yang berlaku pada 4 Ogos lalu, apabila sejumlah besar bahan ammonium nitrat yang disimpan secara tidak selamat, meletup.

Para pegawai Lubnan berkata tujuh orang masih dilaporkan hilang.

Ramai penduduk melahirkan rasa marah bagaimana bahan berbahaya seperti itu disimpan dengan tidak selamat di pelabuhan kota Beirut dan berhampiran kawasan perumahan.

Pemerintah Beirut pada Jumaat (4 Sep) menganjurkan upacara bertafakur seminit bagi memperingati berlakunya tragedi itu sebulan lalu.

Pemerintah Lubnan meletak jawatan tidak lama selepas kejadian letupan itu.

Sumber : AFP/MM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita