Skip to main content

Dunia

Lengkap berpakaian Baju Melayu, pemuda ini harumkan nama M'sia susuli rekod dunia maraton

Anggaran Waktu Membaca:
Lengkap berpakaian Baju Melayu, pemuda ini harumkan nama M'sia susuli rekod dunia maraton

Gambar: Keluarga MY

Diterbitkan : 26 Apr 2023 05:55PM
KUALA LUMPUR: Jika anda terpaksa berlari selama berjam-jam dengan memakai pakaian yang kurang sesuai dengan aktiviti yang disertai, pasti anda akan berasa rimas.

Namun pemuda ini jelas berjaya melakukannya.

Berbekalkan azam, semangat dan tekad yang kuat, Mohd Syahidan Alias yang merupakan pelari maraton Malaysia, mencipta sejarah apabila beliau muncul sebagai pelari terpantas dalam Guinness World Records (GWR) bagi kategori pakaian tradisional lelaki pada acara TCS London Marathon 2023 yang berlangsung pada Ahad (23 Apr), seperti ditukil laporan Keluarga MY.

Lebih dikenali sebagai Edan Syah, pemuda tersebut berjaya mencatatkan masa 2 jam 49 minit 22 saat dalam larian maraton sejauh 42 kilometer itu, dengan berbaju Melayu, lengkap dengan kain samping dan songkok.

Seakan-akan membawa semangat berhari raya yang kini sedang diraikan di seluruh dunia, pemuda itu jelas cukup teruja apabila misinya itu meraih kejayaan.

“Misi berjaya. Kami berjaya capai misi untuk catatan masa bawah tiga jam untuk menjadi pemegang rekod dunia Guinness sebagai pelari maraton paling laju (42.2 km) dalam pakaian tradisional Melayu (lelaki),” kata beliau, seperti dipetik Keluarga MY.

Sebelum ini, Encik Edan Syah pernah mengharumkan nama Malaysia setelah mencatatkan rekod dunia ketika Festival Larian Blackmores di Sydney, Australia sebagai pelari maraton paling laju dalam kostum bendera negara dengan catatan masa 2 jam 54 minit pada tahun 2019.

“Kami sudah melakukan yang terbaik untuk menjadikan Baju Melayu kembali hebat pada 2023 TCS @londonmarathon pada Hari Raya Aidilfitri! Terima kasih semua atas doa dan sokongan anda dalam perjalanan ini,” katanya, menurut laporan Keluarga MY.
Sumber : Sumber Web/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita