Skip to main content

Dunia

Lembaga Urus Air Selangor bertindak pantas cegah gangguan bekalan air di Hulu Langat pada Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:
Lembaga Urus Air Selangor bertindak pantas cegah gangguan bekalan air di Hulu Langat pada Aidilfitri

Gambar: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)

Diterbitkan : 10 Apr 2024 05:53PM Dikemas Kini : 10 Apr 2024 05:58PM
SHAH ALAM: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam mengesan pencemaran bau dipercayai diesel pada Selasa (9 Apr) berjaya mengelakkan berlakunya gangguan bekalan air pada sambutan Aidilfitri pada Rabu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin dalam kenyataannya berkata pencemaran itu dikesan kira-kira 9.30 pagi di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11, Hulu Langat.

Beliau berkata susulan itu petugas LUAS segera ke lokasi berkenaan untuk melakukan semakan dan telah mengesyaki kejadian berpunca daripada kawasan perindustrian berdekatan, berdasarkan pengesanan bau hingga dua tan di pembetung sebelum memasuki Sungai Langat di kawasan berkenaan.

"Siasatan LUAS di hulu sungai tidak menemukan sebarang punca yang disyaki berpotensi menyebabkan pelepasan kesan minyak berkenaan.

"Pemerhatian lanjut LUAS di lokasi (yang disyaki) telah menemukan tapak bekas cucian diesel di hadapan premis kosong di kawasan perindustrian tersebut yang dipercayai terdapat aktiviti pencucian kenderaan dan pelepasan bahan diesel ke dalam pembetung," katanya.

Berikutan itu, Cik Jamaliah berkata LUAS segera melaksanakan tindakan pencegahan dengan meletakkan keseluruhan 12 'oil pad' dan dua beg karbon aktif (AC) seberat 50 kilogram di dalam pembetung berkenaan bagi nyahbau, memerangkap serta menghalang aliran kesan minyak dari mengalir ke Sungai Langat.

Beliau berkata LUAS juga telah melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyedutan sisa minyak di kawasan terlibat dan kerja-kerja terbabit selesai sepenuhnya pada 9.40 malam pada Selasa.

"LUAS juga telah melaksanakan pemantauan intensif bau dan kesan minyak di Sungai Langat dengan kekerapan setiap 30 minit melibatkan jarak di antara lokasi itu ke LRA Cheras Batu 11 adalah sekitar 400 meter.

"Verifikasi LUAS di lokasi terlibat mengesahkan bacaan bau sifar ton, dan tiada lagi kesan minyak ditemukan. Tindakan mitigasi segera LUAS ini berjaya memastikan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna," katanya.

Cik Jamaliah turut menyeru semua pihak agar prihatin terhadap aktiviti dan tindakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya semasa musim perayaan.

"Laporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera. Kerajaan Selangor dan LUAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencemarkan sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999," katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita