Lembaga Siasatan ditubuhkan bagi kenal pasti punca 2 helikopter tentera Malaysia terhempas
Tangkapan skrin rakaman yang tular di media sosial, menunjukkan dua helikopter yang terdiri daripada model HOM dan Fennec bertembung di Perak pada 23 Apr 2024.
Satu acara latihan terbang lalu sempena ulang tahun ke-90 Angkatan Tentera Malaysia bertukar menjadi sebuah tragedi apabila dua daripada tujuh helikopternya bertembung di udara dan kemudian terhempas, sehingga menyebabkan kesemua 10 anak kapal terbunuh.
Siasatan awal menunjukkan bahawa satu daripada helikopter yang terbabit hanya menyertai latihan buat pertama kalinya pada Selasa.
"Pihak kementerian telah bersetuju supaya ditubuhkan lembaga siasatan oleh TLDM bagi kita mengenal pasti punca kejadian dan saya berharap supaya masyarakat dan orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti dan menghormati keluarga mangsa dan pada masa yang sama untuk tidak mengganggu proses penyiasatan," Menteri Pertahanan Malaysia, Khaled Nordin.
Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa dan menyifatkan tragedi ini sebagai suatu kehilangan besar buat negara.
Kesemua jenazah akan dihantar ke Hospital Ipoh untuk menjalani postmortem sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Angkatan Tentera Malaysia kini mengarahkan sambutan ulang tahun ke-90 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dibatalkan ekoran nahas yang berlaku.
Ia sebelumnya dijadualkan untuk berlangsung pada Jumaat ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.