Skip to main content

Dunia

Lembaga Keamanan Trump rancang rintis 'zon kemanusiaan' di selatan Gaza

Lembaga Keamanan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump merancang untuk merintis "zon kemanusiaan" di selatan Gaza yang bertujuan menampung puluhan ribu warga awam Palestin, menurut seorang pegawai lembaga berkenaan kepada AFP.

Anggaran Waktu Membaca:
Lembaga Keamanan Trump rancang rintis 'zon kemanusiaan' di selatan Gaza

Gambar fail menunjukkan kenderaan PBB mengetuai konvoi ambulans yang membawa individu dan pesakit yang cedera dalam perang melintasi sempadan Rafah antara Gaza dengan Mesir di Khan Younis di selatan Carikan Gaza pada 19 Mac 2026. (Gambar: Reuters/Ramadan Abed)

Diterbitkan : 08 Jul 2026 09:31PM
BAITULMAKDIS: Lembaga Keamanan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump merancang untuk merintis "zon kemanusiaan" di selatan Gaza yang bertujuan menampung puluhan ribu warga awam Palestin, menurut seorang pegawai lembaga berkenaan kepada AFP.

Pegawai itu berkata zon itu boleh berfungsi sebagai "titik permulaan" bagi jawatankuasa teknokratik Palestin yang bertujuan menggalas pentadbiran harian fasa peralihan Gaza keluar dari perang di bawah pelan 20 perkara Encik Trump.

Zon rintis itu, yang lembaga berkenaan turut dirancangkan bagi Rafah di selatan Carikan Gaza, akan dilindungi oleh tentera berbilang negara dari Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), iaitu sebuah badan baharu yang beroperasi di bawah Lembaga Keamanan.

Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), iaitu kumpulan teknokrat Palestin yang ditubuhkan oleh Lembaga Keamanan, akan menjalankan pemeriksaan dan akses kawalan, disokong oleh ISF.

Konsep zon kemanusiaan tertutup yang dibincangkan dalam pelbagai bentuk selama beberapa bulan, menimbulkan beberapa keprihatinan dengan ahli diplomat dan pegawai NGO yang bekerja di Gaza memberitahu AFP dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan, bahawa mekanisme sedemikian tidak sesuai dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Pergerakan keluar dan masuk "akan kekal bebas bagi semua orang awam yang tidak bersenjata," menurut pegawai lembaga itu kepada AFP dengan syarat identitinya tidak didedahkan.

Usaha memajukan pelan gencatan senjata yang disokong Amerika untuk Gaza terbantut selama berbulan-bulan, dengan NCAG terkandas di Kaherah dan belum lagi dapat memasuki wilayah tersebut.

Sejak gencatan senjata antara Israel dengan Hamas berkuat kuasa pada Oktober lalu, tentera Israel meningkatkan kehadiran mereka di Gaza dan kini mengawal lebih 60 peratus daripada wilayah itu.

"Terdapat satu projek rintis yang sedang kami teliti, yang anda mungkin boleh mendapatkan titik permulaan bagi NCAG, anda boleh membenarkan puluhan ribu orang datang secara rela hati ke kawasan ini, dan anda boleh mula memberikan mereka ruang di mana mereka dapat melaksanakan pentadbiran berkesan dan mereka adalah pihak pentadbirannya," kata pegawai tersebut.

ANGGOTA MILITAN TIDAK DIBENARKAN MASUK

Pegawai itu berkata lembaga itu sedang "menimbangkan Rafah" sebagai lokasi bagi projek tersebut tetapi tidak mendedahkan perincian mengenai lokasi sebenar.

Beliau berkata kerja-kerja pembangunan belum mula dilaksanakan.

Rafah, yang berada di pinggir selatan Gaza, dimusnahkan sepenuhnya oleh serangan bom Israel semasa perang dan kawasan itu kini sebahagian besarnya di bawah kawalan tentera Israel.

ISF akan bertindak sebagai "penampan" yang memisahkan penduduk Palestin daripada tentera Israel, kata pegawai tersebut.

"Satu mekanisme penyaringan akan memastikan individu bersenjata dan anggota militan tidak boleh memasuki zon kemanusiaan yang selamat ini," katanya.

"Fungsi ini tidak akan dijalankan oleh tentera Israel, yang tidak akan mempunyai sebarang kontak dengan penduduk awam dan tiada peranan dalam memisahkan kawasan itu daripada seluruh Gaza," tambahnya.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita