Skip to main content

Dunia

Lembaga Keamanan Trump lapor 'jurang' pembiayaan dana, gesa agihan bantuan dipercepat

Anggaran Waktu Membaca:
Lembaga Keamanan Trump lapor 'jurang' pembiayaan dana, gesa agihan bantuan dipercepat

Warga Palestin berjalan di tapak serangan udara Israel di Gaza, 16 Mei 2026. (Gambar: REUTERS/Dawoud Abu Alkas)

Diterbitkan : 20 May 2026 06:11AM Dikemas Kini : 20 May 2026 06:12AM
GENEVA: Jurang antara jumlah dana yang diikrarkan dengan wang yang sebenarnya diagihkan untuk membiayai pelan pembinaan semula Gaza oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mesti ditangani dengan segera. Perkara ini dinyatakan oleh "Lembaga Keamanan" Encik Trump dalam satu laporan, yang turut mengesan risiko kekurangan wang tunai dalam pelan yang dianggarkan menelan belanja sebanyak AS$70 bilion (S$90 bilion).

Encik Trump menubuhkan Lembaga Keamanan tersebut untuk memantau pelan besarnya bagi menamatkan perang Israel-Hamas di Gaza dan membina semula wilayah yang punah-ranah itu.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf lembaga berkenaan, walaupun banyak kuasa besar dunia masih belum menyertainya, berbeza dengan sekutu utama Washington di Timur Tengah serta beberapa negara kecil dan sederhana yang sudah mendaftar.

Agensi berita Reuters melaporkan pada bulan April bahawa lembaga itu hanya menerima sebahagian kecil daripada AS$17 bilion (S$22 bilion) yang diikrarkan oleh ahli-ahlinya untuk Gaza, yang menghambat usaha Encik Trump untuk meneruskan pelan beliau.

Bagaimanapun, lembaga tersebut menolak laporan itu dengan mengeluarkan satu kenyataan. Lembaga tersebut menegaskan bahawa pertubuhan itu "menumpukan perhatian kepada pelaksanaannya dengan meminta modal apabila diperlukan" dan mendakwa "tiada sebarang sekatan kewangan."

RAYUAN UNTUK AGIHAN DANA DIPERCEPAT

Dalam laporan bertarikh 15 Mei kepada Majlis Keselamatan PBB yang dilihat oleh Reuters pada Selasa (19 Mei), lembaga itu menyatakan bahawa "jurang antara komitmen dana kepada Lembaga Keamanan dengan agihan wang sebenar mesti diselesaikan dengan segera."

Laporan itu menambah: "Dana yang diikrarkan tetapi belum diagihkan ini menunjukkan perbezaan antara satu rancangan yang hanya wujud di atas kertas dengan rancangan yang benar-benar membuahkan hasil di lapangan untuk penduduk Gaza."

Lembaga itu juga menyeru negara-negara dan pertubuhan-pertubuhan lain yang bukan sebahagian daripada Lembaga Keamanan supaya menyalurkan sumbangan untuk pembinaan semula Gaza tanpa berlengah.

Laporan tersebut bagaimanapun tidak menyatakan jumlah wang yang sudah diterima atau seberapa besar jurang kewangan yang dihadapi, namun ia menyebut bahawa jumlah dana yang dijanjikan setakat ini kekal sebanyak AS$17 bilion. Pihak Lembaga Keamanan tidak memberikan maklum balas segera apabila diminta untuk mengulas lanjut.

Dalam satu kenyataan kepada Reuters, seorang pegawai Lembaga Keamanan berkata pihaknya sentiasa konsisten menggesa negara-negara anggota PBB dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa untuk menunaikan ikrar mereka serta menyumbang dana bagi pembinaan semula Gaza. Sekalipun demikian, pegawai tersebut tidak menyentuh tentang isu jurang antara ikrar dana dengan wang yang diagihkan.

Nickolay Mladenov, Utusan Lembaga Keamanan Encik Trump untuk Gaza, dijangka akan membentangkan perkembangan terkini mengenai laporan tersebut kepada Majlis Keselamatan PBB pada 21 Mei ini, kata pegawai berkenaan.

Antara negara yang sudah berikrar untuk menyumbang dana kepada lembaga itu termasuk Amerika Syarikat, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), dan Qatar. Negara lain yang turut terlibat termasuk Maghribi, Uzbekistan, dan Kuwait.

Walaupun perjanjian gencatan senjata sudah dicapai pada Oktober lalu, Hamas tetap enggan melucutkan senjata, manakala Israel terus menempatkan tenteranya di sebahagian besar wilayah Gaza, di samping meneruskan serangan udara.

Dalam laporannya, lembaga itu menyatakan bahawa 85 peratus bangunan dan prasarana di Gaza musnah, dan dianggarkan sebanyak 70 juta tan sisa runtuhan perlu dibersihkan.

Reuters melaporkan pada 15 Mei bahawa Amerika Syarikat sedang menimbangkan untuk meminta Israel menyerahkan sebahagian wang cukai milik Penguasa Palestin yang ditahannya kepada Lembaga Keamanan bagi membiayai usaha pembinaan semula.

Menurut para pegawai dari Eropah dan Asia, banyak negara berasa ragu-ragu untuk membiayai pembinaan semula Gaza melalui lembaga Encik Trump ini atas faktor ketelusan dan kawal selia. Sebaliknya, mereka lebih rela menyalurkan bantuan melalui institusi tradisi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di bawah piagam lembaga itu, tempoh keahlian negara anggota dihadkan kepada tiga tahun sahaja, melainkan jika mereka membayar AS$1 bilion (S$1.28 bilion) setiap satu untuk membiayai aktiviti lembaga tersebut bagi mendapatkan status ahli tetap. Setakat ini, masih belum jelas sama ada sudah ada negara yang sudah membayar yuran tersebut.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita