Skip to main content

Dunia

Lembaga Hasil Dalam Negeri M'sia disiasat

Kes cukai terlebih bayar yang tidak dikembalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia kepada pembayar berjumlah lebih RM14 bilion (S$4.67 bilion) disiasat sebagai pecah amanah.

Anggaran Waktu Membaca:
Lembaga Hasil Dalam Negeri M'sia disiasat

Ibu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia. (Gambar: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia/Facebook)

Diterbitkan : 24 Aug 2018 07:20PM Dikemas Kini : 24 Aug 2018 07:27PM

KUALA LUMPUR: Kes cukai terlebih bayar yang tidak dikembalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia kepada pembayar berjumlah lebih RM14 bilion (S$4.67 bilion) disiasat sebagai pecah amanah.

Menurut laporan agensi berita BH Online, semua ahli lembaga pengarah sedia ada dan penyandang terdahulu dijangka dipanggil memberi keterangan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) untuk merungkai kes ‘kehilangan’ peruntukan dana cukai pendapatan terlebih bayar berjumlah RM14.56 bilion (S$4.85 bilion).

Antara yang dijangka dipanggil memberi keterangan berhubung kehilangan dana yang sepatutnya dipulangkan kepada 1,653,786 pembayar cukai itu ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

MOHD IRWAN SEPATUTNYA BERTANGGUNGJAWAB

Dr Mohd Irwan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun di Kementerian Kewangan yang sepatutnya bertanggungjawab untuk memperuntukkan dana mencukupi menerusi Tabung Amanah Bayaran Balik Cukai (TBBC) seperti diperlukan LHDN bagi pembayaran balik.

BH Online difahamkan bahawa kekurangan peruntukan daripada pendapatan cukai langsung yang dikumpulkan ke TBBC dikenal pasti sebagai punca lambakan tunggakan bayaran balik cukai yang tinggi.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh, ketika mengesahkan perkara itu berkata polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Pada Rabu lalu (22 Ogos), Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng, mendedahkan satu lagi skandal penyelewengan wang pembayar cukai pendapatan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu yang diterajui Barisan Nasional (BN).

BH Online menukil Encik Lim sebagai berkata bahawa, kerajaan terdahulu gagal menjelaskan lebihan bayaran balik cukai pendapatan dan Cukai Keuntungan Hartanah (CKHT) berjumlah RM16.046 bilion (S$5.35 bilion) setakat 31 Mei lalu.

Katanya, lebih 1.6 juta pembayar cukai itu, termasuk syarikat, individu, persatuan dan yayasan, merangkumi rekod selama enam tahun lalu.

“Pemalsuan nilai dalam akaun dan penyelewengan bayaran balik cukai ini sama ada untuk tujuan tertentu atau sekadar menutup defisit sebenar demi memperlihatkan wujudnya keadaan lebihan akaun.

“Bayaran balik cukai hanya boleh dibuat menggunakan baki TBBC, namun semakan setakat 30 Mei 2018 berdasarkan laporan Jabatan Akauntan Negara mendapati ia hanya mempunyai RM1.486 bilion (S$500 juta), sangat rendah jika dibandingkan dengan RM16.046 bilion (S$5.35 bilion) yang diperlukan untuk proses berkenaan.

“Oleh itu, jelas RM14.56 bilion (S$4.85 bilion) yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama,” katanya.

PERSOALKAN KESAHIHAN

Sehubungan itu, Encik Lim mempersoalkan kesahihan perangkaan hasil Kerajaan Persekutuan sebelum ini yang bukan sekadar tidak tepat, malah terlebih lapor.

Susulan pendedahan itu, kerajaan bersetuju membenarkan pembayar cukai dengan kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDN membuat permohonan timbal balik sekiranya mereka mempunyai tunggakan cukai pada tahun semasa. 

Sumber : Agensi berita/SU/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita