Lemah urus sisa, bina hotel & vila secara tidak mampan burukkan banjir Bali, kata Menteri Sekitaran Indonesia
Barangan berserakan di sebuah kedai kain yang runtuh selepas dilanda banjir berikutan hujan lebat semalaman di Denpasar, Bali, Indonesia pada 10 September 2025. (Gambar: Reuters/Dicky Bisinglasi)
Penilaian awal menunjukkan sistem saliran tersumbat selepas dua hari hujan lebat mencetuskan banjir di Denpasar, kata Menteri Lingkungan Hidup Hanif Faisol Nurofiq di Jakarta pada Khamis (11 Sep).
Pengurusan sisa yang lemah turut memburukkan bencana itu, tambah Encik Hanif.
“Banjir diburukkan lagi oleh timbunan sampah luar biasa yang membuat saliran tersebut,” kata Encik Hanif, menurut laporan media Bisnis.
“Tragedi ini harus dijadikan pengajaran.”
Walaupun pemerintah tempatan sedang berusaha membersihkan sampah sarap, Encik Hanif mengakui masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan pantas.
Beliau juga menegaskan penukaran tanah yang pesat daripada sawah padi dan ruang hijau kepada hotel, vila, dan kafe bagi menyokong sektor pelancongan adalah faktor utama yang mengurangkan keupayaan semula jadi Bali untuk menyerap air.
“Kita tidak bersikap cuai. Apabila landskap terganggu, alam akan mengimbangi dirinya sendiri melalui bencana seperti ini,” katanya, sambil menggesa pihak berkuasa supaya mengamalkan perancangan guna tanah yang lebih mampan.
Gabenor Bali, I Wayan Koster, menolak dakwaan penukaran tanah di ibu kota Denpasar secara langsung menyebabkan banjir, dengan berkata pembangunan tersebut tertumpu di Kuta Utara (Badung) dan sebahagian Gianyar.
“Itu tidak benar. Penukaran tanah berlaku di Badung dan Gianyar. Di Kuta Utara, sungai mengalir ke arah Denpasar, jadi ini isu aliran sungai, bukan penukaran tanah dalam bandar,” kata ahli politik Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) kepada CNN Indonesia semasa membuat pemeriksaan di Denpasar.
Namun, kumpulan pencinta alam Walhi Bali melaporkan antara 2018 dan 2023, kemerosotan tanah di kawasan metropolitan Sabagita - yang merangkumi Denpasar, Badung, Gianyar dan Tabanan - mencapai 3 hingga 6 peratus, secara berterusan mengurangkan tanah pertanian.
16 ORANG MAUT, SEORANG HILANG
Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) menyatakan banjir diburukkan lagi oleh hujan lebat yang dikaitkan dengan gelombang Rossby khatulistiwa (equatorial Rossby wave), yang berterusan selama lebih 24 jam mulai pagi Selasa.
Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BPBD) merekodkan lebih 120 tapak banjir dan 18 tanah runtuh di seluruh pulau.
Denpasar adalah kawasan yang paling teruk terjejas, dengan 81 lokasi banjir.
Daerah-daerah lain yang terjejas termasuk Gianyar (14), Badung (12), Tabanan (8), Karangasem (4), Jembrana (4) dan Klungkung (1).
Kebanyakan tanah runtuh berlaku di Karangasem (12), diikuti oleh Gianyar (5) dan Badung (1).
BNPB mengesahkan angka korban seramai 16 orang pada Khamis malam selepas pasukan penyelamat menjumpai mayat salah seorang daripada dua orang yang dilaporkan hilang.
Mangsa termasuk 10 orang di Denpasar, tiga di Gianyar, dua di Jembrana dan seorang di Badung.
Pihak berkuasa juga mengisytiharkan darurat selama tujuh hari bermula 10 Sep.
Tentera Indonesia telah mengerahkan lebih 300 anggota untuk membantu operasi pemindahan mangsa banjir di Bali, kata Brigadier Jeneral Wahyu Yudhayana, ketua Perkhidmatan Maklumat Tentera Nasional Indonesia, kepada Antara pada Jumaat (12 Sep).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.