Lelongan gambar Mahathir, barisan pemimpin PH kutip RM1.22j
Gambar yang dirakam semasa sidang media pertama pemimpin Pakatan Harapan (PH) selepas Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei lalu, dilelong pada harga RM500,000 (S$165,000).

Barisan pemimpin Pakatan Harapan dalam satu majlis di mana gambar-gambar berjaya dilelong. (Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Gambar yang dirakam semasa sidang media pertama pemimpin Pakatan Harapan (PH) selepas Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei lalu, dilelong pada harga RM500,000 (S$165,000).
Gambar tersebut dirakam sehari selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan ia dibeli oleh seorang pembida tempatan selepas bidaan dibuka pada harga RM100,000 (S$32,000).
Sebanyak enam keping gambar pemimpin PH berjaya dilelong dengan nilai RM1.22 juta (S$395,000) semasa Majlis Makan Malam Amal PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam semalam (9 Dis).
Selain Perdana Menteri, gambar yang ditandatangani lima lagi pemimpin PH termasuk Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, dibeli seorang pembida tempatan, Gan Yu Chai, pada harga RM150,000 (S$50,000) selepas bidaan dibuka pada harga bermula RM100,000 (S$32,900).
Dr Mahathir dalam ucapannya berkata, beliau tidak menyangka gambar-gambar tersebut dapat dibida dengan nilai mencecah ratusan ribu Ringgit.
"Oleh itu saya nak berhenti kerja. Saya ambil gambar saya nak jual sahaja," katanya secara berseloroh.
Mengucapkan penghargaan kepada semua penderma dan pembida dalam majlis tersebut, Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan tiada keistimewaan akan diberikan oleh kerajaan kepada mereka.
Gambar yang mendapat bidaan kedua tertinggi ialah gambar Dr Mahathir semasa hari pertama bertugas sebagai Perdana Menteri pada 23 Mei lalu di Pejabat Perdana Menteri.
Gambar Pengerusi PH itu dilelong pada harga RM350,000 (S$115,000) selepas bidaan dibuka pada harga bermula RM50,000 (S$16,000).
Gambar Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PH, pula dibeli pada harga RM150,000 (S$49,000).
Tiga gambar lain yang dilelong adalah gambar tiga Timbalan Presiden PH iaitu Encik Muhyiddin Yassin pada harga RM110,000 (S$36,000), Encik Lim Guan Eng pada harga RM100,000 (S$32,000) dan Encik Mohamad Sabu pada harga RM10,000 (S$3,200).
Kesemua gambar tersebut ditandatangi oleh pemimpin-pemimpin terbabit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.