Lelaki yang lari selepas dibebaskan badan pencegahan rasuah M'sia ditahan
Seorang lelaki yang menjadi tumpuan umum kerana berjaya melarikan diri daripada ditahan polis sejurus dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat suruhanjaya itu pada 11 Oktober lalu, kini direman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang menjadi tumpuan umum kerana berjaya melarikan diri daripada ditahan polis sejurus dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat suruhanjaya itu pada 11 Oktober lalu, kini direman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata perintah reman selama 21 hari itu yang berkuat kuasa hingga 20 November ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek berhubung sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.
“Perintah reman itu dibacakan kepada suspek di Lokap Berpusat Jinjang pagi ini,” katanya.
Lelaki itu yang berjaya diberkas semula oleh pihak berkuasa pada 27 Oktober lalu, sebelum ini direman tiga hari hingga semalam (30 Okt) untuk membantu siasatan menurut Seksyen 4(1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Pada 13 Oktober lalu, SPRM mengesahkan seorang suspek sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan beberapa selebriti tanah air, melarikan diri ketika hendak ditahan oleh polis sejurus dibebaskan SPRM.
Lelaki itu dilaporkan memanjat pagar dengan dibantu oleh pengawal peribadinya sejurus dibebaskan oleh SPRM dalam kawasan ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.
Pada 16 Oktober, polis mendedahkan kepada orang ramai butiran suspek tersebut yang dikehendaki bagi membantu siasatan tiga kes melibatkan penganjuran judi dalam talian di sekitar ibu negara dan Selangor.
Suspek juga dikatakan menjadi penyelaras aktiviti Macau Scam menyasarkan rakyat China.
Pada 27 Oktober lalu, pihak berkuasa dilaporkan berjaya memberkas lelaki itu yang bersembunyi di sebuah hotel di kawasan peranginan di luar Lembah Klang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.