Skip to main content

Dunia

Lelaki warga SG, teman wanita diselamatkan di JB selepas diculik; wang tebusan S$80,000 dituntut

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Aug 2026 09:40PM Dikemas Kini : 30 Aug 2026 10:01PM
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura yang dikehendaki pihak berkuasa melarikan diri ke Malaysia menerusi laluan tidak sah sebelum akhirnya diculik dan menjadi mangsa pemerasan sebuah kumpulan sindiket.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M. Kumar berkata siasatan lanjut mendapati lelaki tersebut, yang memasuki Malaysia melalui Johor sejak Mei, pada mulanya meminta bantuan perlindungan daripada kumpulan sindiket itu sebelum menjadi mangsa, selain turut dicederakan.

Beliau berkata kejadian itu terbongkar selepas ibu mangsa membuat aduan polis pada Isnin (10 Ogos) dan memaklumkan anak lelakinya berusia 32 tahun diculik di kawasan Johor Bahru dengan wang tebusan berjumlah S$80,000, sebelum siasatan lanjut mendapati mangsa turut diculik bersama teman wanitanya, juga warga Singapura, berusia 33 tahun.

“Wang sebanyak S$5,000 telah dibayar secara transaksi online, selebihnya pula perlu diserahkan di sebuah pasar raya,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Rabu (12 Ogos).

Encik Kumar berkata menyusuli insiden itu, pasukan khas JSJ Johor dan Bukit Aman menyerbu sebuah pasar raya di Nusa Bestari dekat Iskandar Puteri pada 6.00 petang Selasa dan berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa, selain menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun semasa urusan pembayaran wang tebusan dilakukan.
 
Beliau bagaimanapun berkata, semasa diselamatkan, hanya mangsa lelaki didapati mengalami kecederaan, iaitu pada kedua-dua bahagian paha dipercayai kesan kelaran senjata tajam.

Menurut Encik Kumar, menyusuli penahanan itu, sebanyak empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 32 hingga 46 tahun diberkas menerusi beberapa siri serbuan di sekitar kawasan Skudai, Johor.

Hasil semakan mendapati lima suspek yang ditahan memiliki rekod kesalahan jenayah dan dadah manakala hasil ujian saringan air kencing menunjukkan empat suspek positif dadah methamphetamine.

“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah serangkai kunci rumah, 10 telefon bimbit, sehelai baju dan seluar, sepasang kasut, wang tunai S$12,000, wang tunai RM41,400 (S$12,941), seutas rantai dan jam Rolex serta sebuah kereta Perodua Axia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan kesemua suspek berkenaan direman selama 10 hari bermula hari ini (12 Ogos) mengikut Seksyen 12 akta sama,” katanya.

Beliau berkata mangsa pula direman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63 mulai Rabu manakala teman wanitanya yang didapati positif methamphetamine direman selama empat hari bermula hari yang sama.
Sumber : Bernama/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita