Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki warga SG ditangkap di Malaysia dengan hampir 2kg dadah

Seorang lelaki warga Singapura berusia 39 tahun ditahan polis Johor, di sebuah pangsapuri di Forest City atas peranannya sebagai orang tengah atau 'runner' bersama hampir dua kilogram dadah pada Rabu lalu (12 Feb) menurut BH Online.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki warga SG ditangkap di Malaysia dengan hampir 2kg dadah

Pihak polis Malaysia masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti dalang kegiatan jenayah tersebut. (Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 17 Feb 2025 06:54PM Dikemas Kini : 17 Feb 2025 07:55PM
ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki warga Singapura berusia 39 tahun ditangkap polis Johor, di sebuah kondominium di Forest City atas peranannya sebagai orang tengah atau 'runner' bersama hampir dua kilogram dadah pada Rabu lalu (12 Feb) menurut BH Online.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Penolong Pesuruhjaya M Kumarasan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menyerbu pangsapuri yang disewa suspek itu pada pukul 8.40 malam.

"Siasatan awal mendapati suspek beroperasi sejak Julai tahun lalu. Dalam serbuan itu, kami merampas 1.7 kilogram heroin bernilai RM13,722 (S$4,150) yang boleh digunakan untuk 1,700 penagih dan 67.13 gram syabu bernilai RM7,384 (S$2,230) yang boleh digunakan 145 penagih.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM21,106 (S$6,390) dan kami turut menyita sebuah kereta jenis Audi A5 hitam bernilai RM32,000 (S$9,680) dan satu jam tangan besi warna keemasan jenama Nixon bernilai RM550 (S$170).

"Jumlah keseluruhan rampasan sitaan RM32,550 (S$9,850) manakala keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM53,656 (S$16,240)," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri pada Isnin (17 Feb).

Beliau juga mengatakan siasatan mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah dari Malaysia sebelum menjadi orang tengah dan mengedar dadah ke pasaran luar negara.

Pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti dalang kegiatan jenayah tersebut, lapor BH Online.

Hasil ujian saringan air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine, menurut Encik M Kumarasan.

Seperti ditukil BH Online, beliau berkata: "Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga boleh dikenakan sebatan."

Beliau turut menambah bahawa suspek ditahan reman seminggu bermula 12 Februari untuk membantu siasatan.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan