Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki warga SG dipenjara 6 bulan; didenda RM6,000 sebar ajaran sesat di Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki warga SG dipenjara 6 bulan; didenda RM6,000 sebar ajaran sesat di Malaysia

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 19 Nov 2024 11:21PM Dikemas Kini : 19 Nov 2024 11:23PM
SEREMBAN: Seorang warga Singapura dipenjara enam bulan dan didenda keseluruhan RM6,000 (S$1,797) selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di Seremban pada Selasa (19 Nov) atas tiga tuduhan mengajar ajaran salah yang bercanggah dengan hukum syarak pada tahun lalu.

Idris Ami, 60 tahun, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa' selain turut memerintahkan penjara dua bulan bagi setiap tuduhan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa menyebarkan perbuatan berlawanan dengan hukum syarak kepada sekumpulan individu dikenali sebagai Kumpulan Cahaya dengan membenarkan perbuatan berpelukan berbeza jantina dan bukan mahram.

Ia kerana atas dasar kepercayaan bahawa tidak berlaku kesalahan dari sudut syarak kerana perbuatan itu berlandaskan kecintaan hati dan bukannya keinginan jasad dan nafsu yang dilakukan di sebuah rumah di Kuala Pilah pada September hingga Disember 2023.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa mengajar ajaran salah kepada dua lelaki berusia 42 dan 46 tahun dengan mendakwa dirinya sebagai utusan iaitu rasul bagi zaman ini serta mengajar ajaran salah kepada individu sama dengan mendakwa dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh rasul-rasul terdahulu di lokasi sama, sekitar pukul 11.00 malam antara 6 hingga 8 Oktober 2023.
 
Tuduhan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 (S$1,494) atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Sebelum ini, Idris yang bekerja sebagai pemandu foklif mengaku tidak bersalah bagi tuduhan kedua dan ketiga namun tertuduh menukar pengakuannya pada prosiding hari Selasa.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman dan tidak dipenjarakan kerana mahu pulang ke Singapura serta menanggung anak dan isteri di negara tersebut selain mendakwa tidak tahu mengenai hukum syarak di Malaysia.

Ketua Pendakwa Syarie Raja Mazelan Raja Deraman kemudian memohon mahkamah menetapkan hukuman berat atas alasan perbuatan dan ajaran dibawanya menyeleweng dan bertentangan dengan hukum syarak sehingga menyebabkan syirik, kufur dan murtad sekali gus memecahbelahkan masyarakat.

“Tertuduh datang ke Malaysia dan sebar ajaran salah kepada masyarakat Islam. Sewajarnya sebagai bukan warga negara ini dia sepatutnya mematuhi peraturan dan undang-undang di Negeri Sembilan. Hukuman juga sebagai pengajaran dan mahu membendung ajaran salah daripada berleluasa,” katanya.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan