Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki warga S'pura mengaku bersalah kumpul maklumat rahsia AS untuk agensi risikan China

Seorang lelaki rakyat Singapura pada Jumaat (24 Jul) mengaku bersalah kerana menggunakan khidmat runding cara politik di Amerika Syarikat (AS) sebagai muslihat untuk mengumpul maklumat bagi agensi risikan China, menurut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Jul 2020 10:04AM Dikemas Kini : 25 Jul 2020 11:52PM

WASHINGTON: Seorang lelaki rakyat Singapura pada Jumaat (24 Jul) mengaku bersalah kerana menggunakan khidmat runding cara politik di Amerika Syarikat (AS) sebagai muslihat untuk mengumpul maklumat bagi agensi risikan China, menurut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

Jun Wei Yeo, yang juga dikenali sebagai Dickson Yeo, mengemukakan rayuannya di sebuah mahkamah persekutuan di Washington atas satu tuduhan beroperasi secara haram sebagai ejen asing.

Dalam rayuannya itu, Yeo mengaku bekerja untuk agensi risikan China antara tahun 2015 hingga 2019 'untuk mengesan dan menilai warga Amerika yang mempunyai akses kepada maklumat bukan awam yang berharga, termasuk kakitangan tentera dan pemerintah Amerika Syarikat yang mempunyai tahap pelepasan keselamatan yang tinggi.'

Yeo juga dipercayai mengupah sebilangan individu untuk menulis laporan yang seolah-olah untuk pelanggannya di Asia, tetapi sebenarnya dihantar kepada pemerintah China.

Pengakuan bersalah itu diumumkan beberapa hari selepas Amerika Syarikat mengarahkan China supaya menutup konsulatnya di Houston, sambil melabelnya sebagai sebuah hab pengintipan dan operasi untuk mencuri teknologi dan hak intelektual Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat juga sudah memberkas empat orang ahli akademik China sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sambil menuduh mereka berbohong mengenai hubungan mereka dengan Angkatan Tentera Rakyat China semasa membuat permohonan visa.

Dalam "pernyataan" yang diserahkan kepada mahkamah dan ditandatangani oleh Yeo sendiri, dia turut mengakui sepenuhnya bahawa dia bekerja untuk agensi risikan China, berjumpa dengan ejen-ejen lain sebanyak berpuluh-puluh kali dan diberi layanan istimewa apabila melakukan perjalanan ke China.

Pengumuman itu dibuat lima minggu selepas pendakwaan Yeo didedahkan, menuduhnya bertindak secara haram sebagai ejen pemerintah asing yang tidak dinyatakan.

Yeo ditangkap selepas melakukan penerbangan ke Amerika Syarikat pada November 2019.

Dia direkrut oleh agensi risikan China semasa bertugas sebagai seorang ahli akademik di Universiti Nasional Singapura (NUS). 

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan