Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki warga Australia buat ancaman bom dalam pesawat Scoot akan didakwa; seorang lagi lelaki buat ancaman bom dalam kapal persiar di Marina

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki warga Australia buat ancaman bom dalam pesawat Scoot akan didakwa; seorang lagi lelaki buat ancaman bom dalam kapal persiar di Marina

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Australia yang membuat ancaman bom, yang memaksa penerbangan Scoot yang sedang dalam perjalanan ke Perth berpatah balik ke Singapura, akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (14 Okt).

Demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

Pada 12 Oktober, polis dimaklumkan pada sekitar 4.55 petang tentang ancaman bom dalam penerbangan Scoot TR16.
Semasa penerbangan berkenaan, lelaki itu memaklumkan anak kapal berulang kali bahawa dia mempunyai sebuah bom. Pada ketika itu, pesawat berkenaan sudah berlepas dari Singapura dan terpaksa berpatah balik disebabkan ancaman itu.

Pesawat tersebut mendarat di Lapangan Terbang Changi pada sekitar 6.26 petang, dengan diiringi jet pejuang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

"Disebabkan terdapat langkah-langkah keselamatan tambahan yang dilaksanakan demi memastikan keselamatan kesemua penumpang yang berada dalam penerbangan TR16, terdapat penundaan lebih lima jam sebelum sembilan anak kapal dan 362 penumpang dibenarkan meninggalkan pesawat berkenaan di Singapura pada sekitar 9.19 malam," nyata polis.

Penerbangan itu kemudian berlepas dari Singapura ke Perth pada 11.41 malam.

Polis memberkas suspek tersebut, seorang lelaki warga Australia berusia 30 tahun, dengan ancaman bom yang dibuat didapati palsu.

Dia dijangka didakwa pada Sabtu kerana membuat ancaman palsu mengenai tindakan pengganasan.

Jika disabit bersalah, dia berdepan dengan hukuman denda sehingga S$500,000, penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

SATU LAGI KES ANCAMAN BOM

Dalam satu kes yang berasingan, polis memberkas seorang lagi lelaki, yang disyaki membuat ancaman bom semasa berada dalam kapal pesiar di Marina Bay Cruise Centre.

Pihak polis dimaklumkan oleh seorang pengendali kapal pesiar pada sekitar 4.03 petang pada 13 Oktober. Pegawai polis bekerja rapat dengan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) serta pegawai keselamatan dari Marina Bay Cruise Centre untuk melaksankana pemeriksaan keselamatan yang menyeluruh ke atas kapal pesiar berkenaan.

"Tiada barangan ancaman ditemui dalam kapal pesiar itu," dedah pihak berkuasa.

Selepas siasatan susulan dijalankan, seorang lelaki berusia 39 tahun diberkas. Dia akan didakwa di mahkamah pada Sabtu kerana menyampaikan maklumat palsu tentang perkara yang berbahaya.

Jika didapati bersalah, dia akan berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi S$50,000, hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Disebabkan pemeriksaan keselamatan tambahan yang dijalankan ke atas kapal persiar itu, operasinya dihentikan, sekali gus menyebabkan penundaan selama dua jam bagi proses menaiki (kapal persiar itu). Seramai 4,000 penumpang dianggarkan terjejas," jelas polis.

Polis bertegas bahawa kesemua ancaman keselamatan dipandang serius dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa yang menyebabkan kecemasan awam dengan ancaman palsu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan