Lelaki warga asing ditahan berkelakuan jelik di tempat ambil wuduk CIQ Bangunan Sultan Iskandar

(Gambar: Rashvin Bedi/CNA)
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki berkelakuan jelik di tempat mengambil wuduk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru pada Selasa (9 Mei).
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia 69 tahun itu ditahan sejurus kejadian selepas mendapat laporan pada pukul 4.36 petang Selasa.
"Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau dan saringan air kencing negatif," kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa malam.
Encik Kamarul Zaman berkata permohonan reman akan dibuat pada Rabu (10 Mei) di Mahkamah Johor Bahru dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, kata beliau.
Justeru, beliau berkata orang ramai dinasihati agar tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan suasana yang tidak baik dan mengganggu-gugat ketenteraman awam.
Terdahulu, tular sebuah video selama 10 saat menunjukkan seorang lelaki berdiri di tempat mengambil wuduk, dipercayai sedang membuang air kecil sebelum ditegur seorang lelaki lain mengenai perbuatannya itu.
Pada Isnin (8 Mei), juga tular seorang wanita membuang air kecil di belakang sebuah kaunter yang tutup di Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.