Lelaki tumbuk jerung untuk selamatkan isterinya
Seorang lelaki Australia dianggap sebagai 'wira' setelah beliau menumbuk berulang kali seekor ikan jerung sehingga melepaskan gigitan pada kaki isterinya.
(Gambar: AFP)
SYDNEY: Seorang lelaki Australia dianggap sebagai 'wira' setelah beliau menumbuk berulang kali seekor ikan jerung sehingga melepaskan gigitan pada kaki isterinya.
Polis berkata, dalam kejadian pagi Sabtu itu pasangan tersebut sedang meluncur air di pantai berhampiran Port Macquire, empat jam perjalanan di utara Sydney, apabila kaki kanan wanita itu digigit sebanyak dua kali.
"Suami mangsa menumbuk ikan jerung berkenaan sehingga ia melepaskan gigitannya," kata polis dalam satu kenyataan.
Ahli paramedik yang bergegas ke tempat kejadian merawat mangsa yang berusia 35 tahun sebelum beliau diterbangkan ke hospital untuk menjalani pembedahan.
Seorang saksi yang meluncur dekat dengan kejadian menyifatkan suami mangsa seorang "wira" kerana berani berdepan seekor jerung putih berukuran kira-kira tiga meter panjang.
Suami mangsa, Mark Rapley, memberitahu akhbar Daily Telegraph bahawa beliau melakukan "apa yang akan dilakukan sesiapa sahaja" bagi melindungi isteri.
Australia mencatatkan kes serangan ikan jerung antara yang tertinggi di dunia dan setakat ini melaporkan lima kematian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.