Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki teruk dibelasah; motosikal dibakar gara-gara curi hasil kebun getah

Anggaran Waktu Membaca:
ALOR SETAR: Tular dua video memaparkan seorang lelaki cedera dipercayai dibelasah penduduk kampung kerana didakwa mencuri getah sekerap dalam kejadian di Kuala Nerang, Alor Setar.

Video berdurasi 30 saat itu memaparkan seorang lelaki yang berlumuran darah di kepala, manakala satu lagi video juga berdurasi 30 saat menunjukkan motosikal lelaki tersebut dibakar beberapa individu, seperti dinukil Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Timbalan Superintendan Mulkiaman Manzar berkata pihak polis mengesan dua video berkaitan kejadian yang tular itu kira-kira pukul 2.26 petang, Selasa (19 Jul).

Kata beliau, video dimuat naik seorang pemilik Twitter yang memaparkan kejadian dipercayai seorang lelaki dibelasah akibat mencuri hasil kebun getah milik individu lain, lapor Sinar Harian.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8.10 malam pada Isnin (18 Jul) di tepi jalan Kampung Nai Teh, Kuala Nerang dan satu laporan polis diterima bersabit kes curi tersebut.

"Suspek sudah diserahkan orang awam kepada pihak polis dalam keadaan cedera di beberapa bahagian badan," kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa (19 Jul).

Beliau berkata, suspek juga sudah dirujuk kepada pihak hospital disebabkan kecederaan yang dialami, lapor Sinar Harian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Encik Mulkiaman memberitahu, pihak polis turut menerima dua laporan polis berkaitan kes yang ditularkan.

Susulan itu kata beliau, dua kertas siasatan sudah dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api, serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Beliau menasihatkan orang ramai dan masyarakat setempat agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan dan menyebarkannya kerana kes masih dalam siasatan pihak polis.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan