Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki S'pura hilang ketika daki hutan simpanan di Kota Tinggi

Seorang lelaki warga Singapura dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika mendaki Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi pada Sabtu (17 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki S'pura hilang ketika daki hutan simpanan di Kota Tinggi

lelaki warganegara Singapura, Jason Ren Jie, dilaporkan hilang ketika mendaki Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, pada 17 September 2022. (Gambar: Polis Daerah Kota Tinggi/Facebook)

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika mendaki Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi pada Sabtu (17 Sep).

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Hussin Zamora berkata pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu daripada seorang lelaki warga tempatan pada pukul 3.26 petang.

Encik Hussin berkata lelaki warga tempatan itu, yang juga rakan mangsa, memaklumkan dia terputus hubungan dengan Jason Ren Jie, berusia 30-an tahun, semasa mendaki bersamanya di hutan berkenaan.

"Mereka mula mendaki lebih kurang pukul 11.30 pagi. Pengadu berkata dia terpisah dengan mangsa kira-kira 1.00 tengah hari apabila mangsa dan pengadu berpisah di satu lokasi ketika mendaki.

“Pengadu berjalan dahulu manakala mangsa menunggu di belakang. Tetapi, selepas 30 minit menanti, mangsa tidak muncul-muncul. Pengadu cuba mencari semula mangsa tetapi tidak jumpa," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini (18 Sep).

Berikutan itu, Encik Hussin berkata sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Batu Ampat telahpun dikerahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian mangsa yang dilaporkan sesat. 

Operasi mencari dan menyelamat ini turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Balai Bomba Kota Tinggi serta Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan (Kota Tinggi), tambah beliau.

"Setakat pukul 11:30 malam tadi, mangsa masih belum dijumpai dan operasi mencari dan menyelamat dihentikan seketika kerana keadaan persekitaran terlalu gelap dan menyukarkan pencarian. Operasi akan disambung semula hari ini," katanya.

Encik Hussin turut menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian, terutama di kawasan Hutan Simpan agar mendapatkan permit terlebih dahulu daripada Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi dan memaklumkan kepada balai polis yang terdekat bagi mengelak kejadian sebegini daripada berulang.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan