Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki S'pura diberkas di M'sia, curi lebih S$1 juta dari pengurup wang JB

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki S'pura diberkas di M'sia, curi lebih S$1 juta dari pengurup wang JB

(Gambar: Rashvin Bedi/CNA)

Diterbitkan : 08 Jun 2022 05:15PM Dikemas Kini : 08 Jun 2022 11:46PM

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki Singapura berusia 54 tahun diberkas polis Malaysia kerana terlibat dalam sindiket yang dipercayai mencuri sebanyak RM3.19 juta (S$1 juta) daripada pengurup wang di Johor Bahru pada 2020. 

Dalam satu sidang media pada Rabu (8 Jun), ketua polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki tersebut ditangkap sewaktu memasuki Malaysia menerusi pusat imigresen Bangunan Sultan Iskandar selepas merentas Koswe. 

"Lelaki itu sudah disenaraikan dalam 'senarai dikehendaki' sejak 2020. Apabila dia melalui imigresen baru-baru ini, pihak penguasa imigresen memaklumkan kepada polis dan kami memberkasnya," kata Encik Kamarul Zaman. 

Tambah Encik Kamarul Zaman, polis masih memburu anggota-anggota lain sindiket tersebut. 

"Kes itu masih disiasat dan anggota-anggota lain sindiket masih belum ditangkap. Mereka juga termasuk dalam 'senarai dikehendaki' itu," kata Encik Kamarul Zaman. 

Pada awal Rabu (8 Jun), agensi berita tempatan melaporkan bahawa penahanan lelaki Singapura itu menyebabkan dua lagi warga Singapura, berusia 48 dan 49 tahun, diberkas kerana disyaki terbabit dalam kes tersebut. 

Laporan yang memetik sumber-sumber, yang tidak didedahkan identitinya, berkata, ketiga-tiga warga Singapura itu merupakan ahli perniagaan yang mengendalikan urus niaga kereta. 

Polis juga sedang mencari seorang warga Malaysia yang terlibat dalam kes tersebut, menurut laporan The Star. 

Warga Malaysia itu dipercayai bekerja untuk pengurup wang tersebut selama lapan tahun sebelum dia melarikan diri bersama wang yang dicurinya pada 2 Mac 2020. 

Lelaki itu diberi tugas memindahkan wang tersebut ke bank, namun melarikan diri dengan wang tersebut menaiki kenderaan syarikat, menurut The Star. 

Dia kemudian bertemu dengan warga-warga Singapura berkenaan di Danga Bay dan membahagikan wang tersebut bersama mereka sebelum meninggalkan kereta syarikat. 

Mediacorp sudah menghubung jabatan siasatan jenayah komersil polis Johor untuk mendapatkan maklumat lanjut. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan