Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki Singapura dan temanitanya rakyat Malaysia didakwa edar dadah

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki Singapura dan temanitanya rakyat Malaysia didakwa edar dadah

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Aug 2022 07:30PM Dikemas Kini : 20 Aug 2022 09:00AM
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura dan kekasihnya wanita tempatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis (18 Ogos) atas tuduhan mengedar 9,625 gram dadah jenis Methamphetamine. 

Loh Kok Kiong, 49 tahun, dan Soh Yong Xin, 32 tahun, didakwa bersama-sama atas tuduhan mengedar dadah itu di sebuah rumah di Jalan Forest City 15, Forest City, Gelang Patah, di sini pada 11.15 pagi, 9 Ogos lepas.

Loh turut didakwa atas dua lagi tuduhan iaitu mengedar 1,505 gram Methamphetamine dan Nimetazepam seberat 139 gram di sebuah rumah di Jalan Sutera Kuning, Taman Sutera di sini, pada 1.30 tengah hari, tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan. 

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas tuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Sementara itu, Loh dan Soh turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis ketamin seberat 666 gram di lokasi sama pada 11.15 pagi, tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 (S$30,890) atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Loh juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki 100 gram ketamin dan memberikan dadah jenis Methamphetamine kepada dirinya masing-masing di Forest City dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri pada 11.15 pagi dan 10.30 malam, tarikh sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) ADB 1952.

Mahkamah menetapkan 20 Sep ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber : Bernama/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan