Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki SG maut dalam letupan di vila di Itali, pasangan belum ditemui: Laporan

Siasatan awal mendapati bahawa letupan itu kemungkinan disebabkan oleh gas yang terkumpul di dalam rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki SG maut dalam letupan di vila di Itali, pasangan belum ditemui: Laporan

Pekerja kecemasan berada di tapak vila yang runtuh selepas letupan pada 21 Dis, 2024. (Gambar: Facebook/Fabrizio Mazzi)

Diterbitkan : 23 Dec 2024 09:40PM Dikemas Kini : 24 Dec 2024 07:16AM
SINGAPURA: Satu letupan di sebuah vila di Itali pada Sabtu malam (21 Dis) mengakibatkan seorang lelaki rakyat Singapura maut manakala pasangannya dari Taiwan belum ditemui, lapor media tempatan.

Letupan itu berlaku di sebuah rumah di Molazzana, sebuah bandar kecil di Garfagnana, dan menyebabkan vila tersebut runtuh, menurut agensi berita Corriere Fiorentino.

Ia dipercayai berpunca daripada kebocoran gas di dalam rumah tersebut, tambah laporan itu.

Mayat lelaki Singapura itu, yang dikenal pasti oleh media tempatan sebagai Encik Seetoh Kwok Meng, ditemui di luar rumah tersebut pada pagi Ahad.

Media tempatan mengenalpasti pasangannya, sebagai seorang wanita bernama Chang Kai En. Beliau dilaporkan masih hilang.

Menurut profil LinkedIn beliau, Encik Seetoh menghabiskan sebahagian besar kerjayanya dalam industri automotif.

Beliau adalah Ketua Pegawai Operasi di Taiwan MotorImage sejak 2013 dan juga berkhidmat dengan Tan Chong Motor Group sejak 1981.

DIKENALI DAN DISUKAI RAMAI

Pasangan itu merancang untuk menghabiskan percutian Krismas di Molazzana dan baru sahaja pulang dari makan malam apabila letupan itu berlaku, lapor media Il Tirreno.

Pihak berkuasa percaya wanita itu adalah orang pertama yang memasuki rumah manakala Encik Seetoh berada di luar rumah.

Siasatan awal mendapati bahawa letupan itu kemungkinan disebabkan oleh gas yang terkumpul di dalam rumah.

Tangki gas petroleum cecair di vila itu berada di luar rumah dan tidak terbakar. Pemanas air (boiler) rumah tersebut juga ditemui di luar dan dalam keadaan baik.

“Sebaik sahaja kami tiba, kami hidu bau gas yang kuat,” kata Andrea Tognocchi, seorang penyelamat, seperti dipetik Il Tirreno.

"Letupan itu menyebabkan dinding musnah dan lantai runtuh," kata seorang pegawai dari jabatan bomba.

Laman berita Itali, La Nazione, melaporkan bahawa apabila anggota bomba tiba di tempat kejadian, mereka mendapati bangunan itu telah runtuh sepenuhnya, dengan beberapa bahagian masih terbakar.

Baju dan perabot berselerakan di merata tempat, dengan beberapa pakaian tergantung di dahan pokok berhampiran.

Letupan itu mencetuskan tindak balas kecemasan besar-besaran dengan puluhan anggota bomba, sukarelawan dan anggota perlindungan awam bergegas ke tempat kejadian, lapor Corriere Fiorentino.

Gambar-gambar selepas kejadian menunjukkan bumbung vila berada di atas timbunan runtuhan, dengan petugas kecemasan giat bekerja di sekitar serpihan.

Datuk Bandar Molazzana, Andrea Talani, juga berada di tempat kejadian. Menurut beliau, pasangan itu sangat menggemari Garfagnana dan berjaya berintegrasi dengan baik dalam masyarakat walaupun menghadapi halangan bahasa.

Mereka dikenali dan disukai oleh semua orang, katanya, seperti dipetik media Corriere Fiorentino.








 
Sumber : CNA/IM/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan