Lelaki SG didenda RM9,100 terkait insiden keganasan jalan raya di Johor
Seorang lelaki rakyat Singapura berusia 40 tahun yang terlibat dalam insiden keganasan jalan raya di Johor Bahru didenda RM9,100 (S$2,766.44) pada Khamis (12 Jun) selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan aniaya dan menghina kehormatan orang lain.
Petikan skrin video kejadian yang tular di media sosial. (Gambar: Facebook/Vicky Sing)
Cheng Kuan Poh Colin, seorang pengurus sumber manusia, dituduh melakukan perbuatan aniaya dengan merosakkan sebuah kereta berdaftar di Malaysia milik Ng Yeow Meng pada Sabtu (7 Jun), lapor media tempatan di Malaysia.
Cheng juga dituduh menghina kehormatan Ng, yang berusia 32 tahun, dengan meludah ke mukanya di Taman Sutera Utama di Johor Bahru, lapor The Star.
Tuduhan terhadap Cheng dibacakan kepadanya dalam Bahasa Mandarin dan dia mengaku bersalah di hadapan Majistret A Shaarmini pada Khamis (12 Jun).
Dia didenda RM4,300 (S$1,311.94) bagi tuduhan merosakkan kereta. Jika tidak mampu membayar denda itu, dia akan menjalani hukuman penjara enam bulan.
Dia juga didenda lagi RM4,800 (S$1,465.02) bagi tuduhan kedua menghina kehormatan orang lain, dan juga akan menjalani hukuman penjara enam bulan jika dia gagal membayar denda tersebut, lapor The Star.
Menurut laporan media tempatan, peguam Cheng, Norfarahin Mohd Yazid memohon hukuman denda lebih ringan, dengan berhujah bahawa anak guamnya perlu menjaga ibu bapanya yang uzur.
"Dia menerima gaji S$2,000 sebagai seorang pengurus sumber manusia dan ini adalah kesalahan pertamanya," Cik Norfarahin dinukil sebagai berkata.
Cheng diberkas pada lewat petang Ahad (8 Jun) selepas Ng membuat laporan polis.
Menurut kenyataan polis, sepasang suami isteri warga Malaysia sedang memandu kereta BMW di kawasan Tun Aminah di Skudai, Johor apabila sebuah kereta Toyota Corolla Altis berdaftar Singapura membunyikan hon beberapa kali ke arah mereka.
Rakaman video insiden itu tular di media sosial selepas pengguna Facebook, Vicky Sing memuat naik kejadian itu yang menurutnya melibatkan dirinya, teman lelakinya dan sebuah lagi kereta di kawasan Sutera Mall.
Salah satu petikan video yang dimuat naik menunjukkan bahagian panel kanan depan sebuah kereta kemek manakala beberapa petikan lain menunjukkan kedua-dua lelaki itu sedang bertengkar, dan salah seorang daripadanya menendang kereta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.