Lelaki SG didakwa di M'sia atas tuduhan edar, ambil dadah
Seorang lelaki warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Johor Bahru pada Khamis (19 Jan) atas tuduhan mengedar dadah dan positif dadah jenis methamphetamine di Iskandar Puteri pada minggu lalu.
(Gambar: Sinar Harian)
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Johor Bahru pada Khamis (19 Jan) atas tuduhan mengedar dadah dan positif dadah jenis methamphetamine di Iskandar Puteri pada minggu lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, Muhammad Hairezal Mohd Rafpi, 33 tahun, didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Nimetazepam seberat 22,217 gram di sebuah kediaman di Persiaran Medini 3, Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri, pada pukul 10.30 malam pada 13 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2), akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan, seperti ditukil laporan Sinar Harian.
Bagi pertuduhan kedua pula, Muhammad Hairezal didakwa memberikan dadah berbahaya jenis Methamphetamine ke dalam diri sendiri di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada pukul 5.00 pagi pada 14 Januari lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM5,000 (S$1,538) atau dipenjara tidak melebihi dua tahun dan perintah pengawasan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun, menurut laporan Sinar Harian.
Tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Samsuddin dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Selepas pertuduhan dibacakan, tertuduh dilihat bertanyakan sama ada dia boleh diberikan ikat jamin namun mahkamah memaklumkan dia tidak layak kerana membabitkan kes hukuman mati sekiranya disabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ahmad Rofaif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 8 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh tidak ditawarkan sebarang ikat jamin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.