Lelaki SG diberkas polis Melaka dalam sindiket proses kad debit palsu untuk pasaran Jepun
Ketua polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar (kiri) menunjukkan pelbagai jenis kad debit palsu pada sidang akhbar di Melaka pada Isnin (28 Apr 2025). (Gambar: Bernama)
Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata lelaki berumur 42 tahun itu ditahan bersama 227 kad visa debit Joint Development Bank yang berpangkalan di Laos dan pelbagai peralatan digunakan untuk memproses kad debit palsu berkenaan, antaranya mesin pemotong laser, peniup haba dan mesin pengimbas kad debit, dalam serbuan pada jam 1.15 tengah hari itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua kad debit berkenaan dicetak dengan nama warganegara Jepun dan kad terbabit dipercayai dijual ke pasaran negara itu.
"Siasatan awal mendapati suspek menyewa kondominium itu sejak Januari tahun ini dan menjadikan premis berkenaan sebagai tempat memproses kad debit palsu.
"Suspek didapati menerima bekalan kad debit Joint Development Bank daripada pihak tertentu melalui khidmat penghantaran dan kemudian akan meniru data daripada kad debit bank berkenaan serta membuat cetakan pada kad palsu kosong dengan menggunakan mesin laser," katanya pada sidang akhbar di Melaka pada Isnin (28 Apr).
Beliau berkata kad palsu yang dicetak itu kemudian akan ditampal dengan cip dan jalur magnetik sebelum menukar kategori kad itu sama ada kepada premium atau platinum.
Katanya, suspek kemudian akan menguji kad debit palsu yang baharu menggunakan mesin pengimbas dan mesin terminal untuk memastikan kad itu boleh digunakan.
Encik Dzulkhairi berkata kesemua kad yang siap diproses akan dihantar kepada pemilik baharu menggunakan khidmat penghantaran dan suspek akan menerima bayaran bulanan sebanyak SDG3,800.
Suspek katanya, direman lima hari hingga Isnin dan permohonan tambahan tempoh reman akan dibuat bagi menjalankan siasatan lanjut.
Dalam perkembangan lain, Encik Dzulkhairi berkata lima lelaki warga tempatan berumur 21 hingga 32 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud melibatkan kerugian kira-kira RM1.82 juta (S$546,881).
Beliau berkata kesemua suspek yang berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan bagi aktiviti penipuan itu ditahan di dua unit kondominium di Ayer Keroh, Melaka yang dijadikan sebagai pusat panggilan sejak empat bulan lepas dan menyasarkan rakyat tempatan dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud menerusi platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram.
"Setakat ini, kita menerima 14 laporan, dan mangsa antaranya dari Melaka, Perak, Kedah, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang dengan tawaran gaji bulanan antara RM3,000 (S$901) hingga RM4,000 (S$1,201).
"Pada mulanya, mangsa dijanjikan tawaran pekerjaan sambilan online melalui laman sesawang mata wang kripto deribittrade dan mangsa juga ditawarkan komisen 10 peratus bagi setiap pelaburan mata wang kripto yang disertai," katanya.
Encik Dzulkhairi berkata pelbagai peralatan komputer dan 64 telefon bimbit dipercayai digunakan untuk memperdaya mangsa turut dirampas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.