Lelaki Rohingya didakwa sogok pegawai maritim M'sia
Seorang lelaki Rohingya didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini (24 Ogos) atas tuduhan memberi rasuah RM7,000 (S$2,294) kepada seorang pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada bulan lalu.
(Gambar fail: TODAY)
ALOR SETAR: Seorang lelaki Rohingya didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini (24 Ogos) atas tuduhan memberi rasuah RM7,000 (S$2,294) kepada seorang pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada bulan lalu.
Tertuduh Mohd Shabo Mohd Hussin, 35 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
Dia didakwa cuba memberi suapan itu supaya pegawai tersebut tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyeludupan masuk pendatang tanpa izin kaum Rohingya seramai 25 orang menggunakan jalan laut.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Restoran Faathirah Tomyam & Seafood di Padang Mat Sirat, Langkawi, pada kira-kira pukul 1.00 pagi, 21 Julai lalu mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 (S$3,278), bergantung kepada mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 (S$3,933) dengan dua penjamin warga Malaysia dan memerintahkannya melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat dua kali sebulan serta menetapkan 27 Sep untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tan Sew Ping, manakala tertuduh diwakili peguam Badrul Munir Bukhari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.