Lelaki rogol gadis-gadis selepas perdaya mereka menerusi WeChat ditahan
Seorang lelaki yang terlibat dalam beberapa kes rogol selepas memperdaya gadis menerusi laman sosial WeChat berjaya ditahan polis di sebuah pusat beli belah.
Gambar hiasan. (Gambar: Reuters)
BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang terlibat dalam beberapa kes rogol selepas memperdaya gadis menerusi laman sosial WeChat berjaya ditahan polis di sebuah pusat beli belah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 2.00 petang semalam (28 Jul) dipercayai ketika sedang menunggu seorang lagi mangsa yang dikenalinya menerusi WeChat.
"Hasil maklumat dan bantuan orang awam, polis berjaya menahan lelaki itu dan merampas sebuah telefon bimbit yang digunakannya untuk memperdaya gadis-gadis dengan mendakwa menjual ubat membesarkan payudara.
"Suspek juga menerusi WeChat menyamar sebagai wanita dan akan menyuruh pembeli yang membeli ubatnya menghantar gambar payudara untuk melihat sama ada terdapat perubahan selepas memakan ubat tersebut," kata ACP Nik Ros Azhan.
Lelaki berkenaan kemudian akan memaksa pembelinya datang ke pusat beli-belah tersebut dan jika tidak, dia akan menyebarkan gambar payudara mangsa sebelum membawa ke sebuah kedai kosong di tingkat empat dan merogol gadis tersebut.
PELAJAR ANTARA MANGSA ROGOL
ACP Nik Ros Azhan berkata mangsa terbaru lelaki itu adalah seorang pelajar Tingkatan Satu yang mendakwa dipaksa suspek untuk datang ke pusat beli-belah berkenaan sebelum merogolnya. Malah lelaki tersebut turut mengugut akan menyebar gambar bogelnya jika beliau membuat aduan polis.
Katanya mangsa yang merupakan anak tunggal bertindak membuat aduan polis selepas keluarganya mengetahui mengenai kejadian tersebut.
"Selain remaja perempuan berusia 13 tahun itu, suspek turut mengaku merogol tiga gadis lain dengan menggunakan modus operandi yang sama. Dia kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan," tambah ACP Nik Ros Azhan.
Beliau berkata lelaki itu terlibat dalam kegiatan berkenaan sejak Disember lalu. ACP Nik Ros Azhan meminta sesiapa yang pernah menjadi mangsa lelaki itu agar tampil membuat aduan polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.