Skip to main content

Dunia

Lelaki rakyat SG meninggal dunia sejurus selepas diurut di pantai Phuket

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki rakyat SG meninggal dunia sejurus selepas diurut di pantai Phuket

(Gambar fail: AP/Salinee Praab)

Diterbitkan : 09 Dec 2024 06:24PM Dikemas Kini : 09 Dec 2024 06:31PM
PHUKET: Seorang rakyat Singapura yang sedang bercuti di Phuket meninggal dunia sejurus selepas menjalani sesi urut seluruh badan di pantai Patong, di daerah Kathu.

Demikian menurut polis tempatan, seperti yang dipetik oleh Bangkok Post.

Ketua polis Patong Chalermchai Hernsawad berkata polis dimaklumkan oleh sebuah rumah urut di pantai Patong bahawa terdapat insiden melibatkan seorang pelancong dari Singapura, sekitar pukul 11.03 malam.

Lee Mun Tuck, 52 tahun, diberikan urutan badan di pantai tersebut kira-kira 45 minit. Dia berehat selepas diurut dan kemudian tiba-tiba tidak lagi bernafas, kata ketua polis itu, lapor Bangkok Post.

Rumah urut itu menghubungi polis dan paramedik bagu mendapatkan bantuan selepas lelaki itu diberikan CPR tetapi tetap tidak sedarkan diri.

Ketua polis berkata isteri Lee enggan membenarkan bedah siasat dijalankan dan membawa pulang suaminya bagi upacara persemadian.

Nama rumah urut itu bagaimanapun tidak didedahkan.

2 INSIDEN KEMATIAN PADA HUJUNG MINGGU YANG SAMA

Ini merupakan kali kedua insiden kematian berlaku pada hujung minggu yang sama melibatkan urutan.

Seorang penyanyi juga meninggal dunia pada Ahad (8 Dis) selepas tiga pusingan urut, dua daripada di bahagian leher, lapor Bangkok Post.

Penyanyi bernama Phing Chaya itu berkata simptom yang dialaminya, sejak pertama kali menerima urutan pada November, semakin lama semakin teruk.

Chyada menjalani sesi urut untuk melegakan sakit pada bahagian bahunya, menurut laporan Nation TV, seperti dipetik oleh The Star.

Sekalipun demikian, beliau mengalami sakit pada bahagian belakang lehernya dua hari kemudian, disusuli oleh lengan kanannya yang semakin lemah dan kelumpuhan 50 peratus tubuh beberapa minggu kemudian.

kes itu diketahui ramai pada 8 Disember apabila sebuah Facebook Drama Addict memuat naik kenyataan bahawa Chyada sudah meninggal dunia.

HATI-HATI URUT LEHER, TULANG BELAKANG

Akaun itu menyatakan bahawa bahagian leher adalah bahagian tubuh yang lemah memandangkan jika diurut terlalu keras ia boleh merosakkan pembuluh darah yang menyalurkan darah ke bahagian otak atau saraf tunjang.

Catatan itu juga memberi amaran kepada orang ramai agar "mengelak daripada mengurut leher atau tulang belakang".

"Mereka yang mengalami sakit kepala, muntah-muntah, pening atau lemah pada lengan dan kaki perlu segera berjumpa doktor," menurut catatan itu.

Catatan itu menambah bahawa urutan memusingkan leher tidak dijalankan oleh rumah urut tradisional Thailand dan menggesa tukang urut supaya berhenti menyediakan khidmat sedemikian demi mencegah kecederaan.

Urutan memusingkan leher atau pada tulang belakang boleh menyebabkan kelumpuhan, menurut pakar neurologi Thailand, Thiravat Hemachudha, seperti dipetik oleh The Star.
Sumber : Agensi berita/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita