'Lelaki Pokok' yang tidak dapat tahan sakit pernah lari dari klinik
Seorang lelaki yang digelar sebagai 'Lelaki Pokok', kerana mempunyai ketumbuhan yang menyerupai akar pokok pada tubuhnya, mahu kedua-dua tangannya dipotong kerana tidak lagi sanggup menanggung kesakitan.
Abul Bajandar digelar sebagai 'Lelaki Pokok' kerana mempunyai ketumbuhan yang menyerupai akar pokok pada tubuhnya. (Gambar: AFP/Sam Jahan)
DHAKA: Seorang lelaki yang digelar sebagai 'Lelaki Pokok', kerana mempunyai ketumbuhan yang menyerupai akar pokok pada tubuhnya, mahu kedua-dua tangannya dipotong kerana tidak lagi sanggup menanggung kesakitan.
Abul Bajandar, seorang rakyat Bangladesh, sudah menjalani 25 pembedahan sejak 2016 bagi membuang ketumbuhan pada bahagian tangan dan kakinya yang disebabkan oleh sejenis sindrom yang jarang dialami.
Para doktor percaya bahawa mereka berjaya merawat penyakit itu tetapi Bajandar melarikan diri dari sebuah klinik di Dhaka pada Mei tahun lalu selepas keadaannya kembali memburuk.
Bapa kepada seorang anak itu dimasukkan ke hospital sekali lagi pada Januari tahun itu apabila keadannya menjadi bertambah buruk, dengan sesetengah ketumbuhan yang dialaminya berukuran sepanjang beberapa inci.
"Saya tidak lagi dapat menanggung kesakitan. Saya tidak boleh tidur pada waktu malam. Saya sudah meminta para doktor supaya memotong kedua-dua tangan saya supaya saya dapat berasa lega," katanya kepada agensi berita AFP.
Ibunya, Amina Bibi, menyokong rayuan anaknya yang berusia 28 tahun. "Sekurang-kurangnya beliau tidak akan lagi menderita. Keadaannya amat teruk sekali," katanya kepada AFP.
Bajandar menghidap penyakit 'epidermodysplasia verruciformis', iaitu sejenis masalah genetik yang amat jarang berlaku, yang juga dikenali sebagai 'sindrom manusia pokok'.
Bajandar sebelum ini berkata beliau mahu ke luar negara bagi mendapatkan rawatan lebih baik, namun tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menanggung perbelanjaan yang diperlukan.
Ketua pakar bedah plastik, Samantha Lal Sen, dari Hospital Kolej Perubatan Dhaka berkata sebuah lembaga yang terdiri daripada tujuh doktor akan membincangkan keadaan Bajandar.
"Beliau sudahpun memberikan pandangan peribadinya tetapi kami akan melakukan sedaya upaya untuk memberikan huraian terbaik baginya," kata Dr Sen.
Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina berjanji akan memberi rawatan percuma kepada Bajandar, selepas nasibnya mengundang simpati rakyat negara itu.
Bajandar menetap di sebuah bilik privet di hospital itu selama dua tahun semasa beliau menjalani pusingan pertama rawatan.
Kurang enam orang di dunia dipercayai mengalami sindrom tersebut.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.