Skip to main content

Dunia

Lelaki penggal kepala isteri, kerat anak tiri dipenjara 72 tahun, 24 sebatan

Seorang lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman penjara selama 72 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi pada Isnin (18 Ogos) selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh isteri dan anak tirinya enam tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki penggal kepala isteri, kerat anak tiri dipenjara 72 tahun, 24 sebatan

Shahrul Nizam Zuraimy, 36 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama 72 tahun dan 24 sebatan selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh isteri dan anak tirinya. (Gambar: Sinar Harian)

MELAKA: Seorang lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman penjara selama 72 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi pada Isnin (18 Ogos) selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh isteri dan anak tirinya enam tahun lalu.

Menurut Sinar Harian, Hakim Mahkamah Tinggi, Anselm Charles Fernandis, menjatuhkan hukuman itu ke atas Shahrul Nizam Zuraimy, 36 tahun, selepas mempertimbangkan hujahan daripada peguam tertuduh serta faktor-faktor yang dikemukakan oleh pihak pendakwa di akhir kes pembelaan.

Selain itu, keputusan berkenaan turut mengambil kira keterangan daripada adik, ibu serta kakak mangsa, lapor Sinar Harian.

Hakim mengarahkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Oktober 2019.

“Apa yang dilakukan tertuduh adalah kejam dengan meletakkan kepala isterinya di atas siling rumah, selain mengerat dan membuang bahagian tubuh kedua-dua mangsa di kawasan berbeza.

“Kepala mangsa dibungkus dan disembunyikan di atas bumbung bagi mengelakkan bau atau kesan darah, malah mahkamah juga mengambil kira tindakan tertuduh membuang sebahagian tubuh mangsa di kawasan semak,” katanya.

Jelas beliau, tiada alasan munasabah dikemukakan tertuduh dan perbuatan itu jelas bertujuan menyembunyikan identiti kedua-dua mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 36 tahun penjara dan 12 sebatan bagi setiap tuduhan.

Berdasarkan dua tuduhan, tertuduh didapati melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Norfazera Bidin, 27 tahun, dan anak tirinya, Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan MJ 10, Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka Tengah antara pukul 6.00 petang pada 6 Oktober 2019 hingga 7.30 pagi pada 7 Oktober 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika tidak dihukum mati.

Awal dari itu, ibu dan kakak Norfazera dalam kenyataan impak mangsa menegaskan mereka mahu tertuduh digantung sampai mati, mengambil kira trauma yang dialami selain cara pembunuhan yang disifatkan sangat kejam.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan Nur Syazwanie Marizan turut memohon hukuman gantung sampai mati dengan mengambil kira kepentingan awam, jumlah mangsa, tahap kekejaman serta fakta kes.

Bagaimanapun, sekiranya hukuman mati tidak sesuai, pihak pendakwa mencadangkan hukuman penjara bagi setiap kesalahan dikenakan secara berasingan.

Tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi merayu agar anak guamnya diberi peluang kedua dengan alasan sudah insaf dan menyesali perbuatannya.

Untuk rekod, perbicaraan kes bermula pada 11 Jun 2020 dengan melibatkan 26 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan.
Sumber : Agensi berita/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita