Lelaki penggal kepala ibu dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika kejadian
(Gambar: BERNAMA)
SHAH ALAM: Penganggur berusia 28 tahun yang disyaki memenggal kepala ibunya pada Sabtu (15 Jan) dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata ketika kejadian, hanya suspek dan ibunya yang berusia 56 tahun berada di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang dekat Kuala Selangor.
“Kita sudah tahan reman selama tujuh hari dari 16 hingga 22 Januari dan (senjata) barang kes juga kita sudah rampas.
“Kita percaya ketika kejadian itu, suspek hendak meminta duit daripada ibunya (untuk beli dadah) dan punca kejadian dipercayai berkaitan dengan pengaruh dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor semalam (17 Jan).
Pada Ahad (16 Jan), Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Ramli Kasa berkata laporan awal ujian air kencing ke atas suspek di Hospital Tanjong Karang mendapati dia positif dadah jenis metamfetamina dan amfetamina.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.