Lelaki paling dikehendaki Israel: Siapa Mohammed Deif, panglima tentera di sebalik serangan Hamas
Gambar: AFP/Ho
BAITULMAKDIS: Panglima Briged Al-Qassam dalam Hamas, Mohammad Deif membuat hanya tiga kenyataan sejak sembilan tahun lalu. Kelibatnya juga tidak kelihatan di khalayak ramai sepanjang tiga dekad. Hanya dua gambar pudar yang tidak bertarikh wujud - yang lain sama ada menunjukkannya berpakaian keffiyeh Palestin atau menunjukkan hanya bayangan bentuk tubuhnya.
Namun Muhammad Deif dianggap antara tokoh Palestin paling dikehendaki Israel, sejak lebih 25 tahun lalu, dan tidak syak lagi suara di sebalik rakaman video yang dikeluarkan beberapa jam sebelum serangan Hamas pada Sabtu lalu (7 Okt).
Angka korban jiwa serangan paling dahsyat ke atas wilayah Israel sejak Perang Yom Kippur 50 tahun lalu itu terus meningkat melepasi 1,500 di kedua-dua pihak.
Ribuan lagi cedera, dan ramai warga Israel dijadikan tahanan oleh Hamas dan kumpulan Jihad Islam.
"Mengambil kira jenayah berterusan dilakukan ke atas rakyat kami, jenayah pendudukan berterusan dengan mengepung Carikan Gaza, tidak endah undang-undang dan ketetapan antarabangsa, dan disokong Amerika dan Barat, kami memutuskan untuk menoktahkan segala jenayah pendudukan Israel, supaya musuh itu faham bahawa masa ia bertindak melulu tanpa dipertanggungjawabkan, sudah tamat.," kata suara dalam video berkenaan.
Menggelar serangan itu sebagai Operasi Al-Aqsa, suara itu juga merujuk kepada sekatarn 16 tahun ke atas Gaza dan sirikejadian baru-baru ini yang meningkatkan ketegangan Israel-Palestin.
Suara di sebalik mesej yang disampaikan itu, didakwa milik Deif, panglima sayap tentera Hamas, Briged Izz el-Deen al-Qassam dan dipercayai dalang serangan ke atas Israel selama ini.
Siapa sebenarnya lelaki yang diburu Israel ini sejak beberapa dekad dan bagaimana dia menjadi panglima Hamas paling digeruni?
ANAK DIDIK PEMBUAT BOM HAMAS YANG DIGERUNI
Tidak banyak yang diketahui umum tentang Deif, yang tampil dengan nama samaran.
Dilahirkan dengan nama Mohammed Diab Ibrahim al-Masri pada 1960-an, Deif membesar di kem pelarian Khan Younis di Gaza. Keluarga miskin, menurut akhbar berbahasa Arab Asharq Al-Awsat.
Dia meninggalkan sekolah buat sementara waktu untuk membantu meringankan beban kewangan keluarganya, dengan melakukan beberapa pekerjaan, dari memandu hingga bekerja di ladang ternakan dan sebagai tukang jahit.
Ketika Hamas ditubuhkan pada lewat 1980-an untuk memerangi pendudukan Israel di Gaza, Deif sudah berusia 20-an tahun. Menurut akhbar Asharq Al-Awsat Deif menyertai Hamas pada penghujung 1987, sebelum kembali ke sekolah dan memperoleh ijazahnya pada 1988 selepas menamatkan pengajian di Universiti Islam Gaza.
Dia sokong sepenuhnya tujuan Hamas untuk "memusnahkan Israel dengan peperangan dan memperjuangkan bagi sebuah negara Palestin". Deif dengan cepat naik pangkat sebagai anak didik ketua pembuat bom Yehya Ayyash, juga dikenali sebagai "The Engineer".
Deif dikatakan terlibat dalam pembuatan roket asas Hamas yang pertama dan mereka bentuk roket Qassam, di mana lebih 3,000 dilancarkan pada Sabtu. Jumlah roket Hamas kini berjumlah puluhan ribu, menurut The Financial Times.
BBC pula melaporkan Deif dipercayai sosok di sebalik pembinaan terowong di Gaza, yang digunakan untuk menyeludup bekalan senjata, bahan api dan barangan lain dari Mesir. Dia juga dipercayai menghabiskan sebahagian besar masanya dalam terowong berkenaan, mengelak tentera Israel dan mengarahkan operasi Hamas.
BERULANG KALI TERSELAMAT PERCUBAAN BUNUH OLEH ISRAEL
Menurut Asharq Al-Awsat, tidak ramai yang mengenali Deif, panglima tentera Hamas sejak 2002, kecuali keluarganya dan segelintir anggota kumpulan tersebut. Keberadaan lelaki itu yang diburu Israel selama beberapa dekad lamanya dan paling dikehendaki Tel Aviv kekal menjadi tanda tanya.
Deif terselamat daripada sekurang-kurangnya lima kali percubaan bunuh oleh Israel, masing-masing pada 2001, 2002, 2003 serta 2006, manakala cubaan pada 2014 pula mengorbankan isteri, anak perempuan berusia 3 tahun dan bayi lelakinya.
Menurut akhbar Britain The Daily Mail, kali terakhir percubaan membunuh Deif ialah pada Mei 2021.
Deif nyaris dibunuh dalam satu serangan udara 20 tahun lalu, yang dikatakan menyebabkannyakudung dan berkerusi roda. Namun, keupayaannya untuk kekal terselamat daripada serangan Israel dan berada selangkah di hadapan tentera Israel meraih rasa hormat daripada anggota militan Palestin.
MATLAMAT DEIF
"Hari ini, kemarahan Al-Aqsa, ummah kita dan mujahidin kita tidak dapat lagi dibendung. Ini adalah hari untuk membuat musuh faham bahawa masa mereka telah tamat," ujar Deif dalam video pada Sabtu, mengumumkan permulaan operasi paling dahsyat Hamas dan menyeru rakyat Palestin bangkit berperang.
Hamas memanggil "pejuang" di Tebing Barat dan negara-negara Arab lain untuk menyertai operasi terbaharunya itu, yang dilancarkan setengah abad selepas perang Arab-Israel 1973.
Meskipun belum ada petunjuk bahawa serangan yang bermula di Gaza itu merebak ke Tebing Barat dan Baitulmakdis sepertimana yang diharapkan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh, terdapat kebimbangan bahawa pergerakan militan Syiah yang disokong Iran, Hezbollah akan turut serta dalam konflik berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.