Lelaki Palestin mati ditembak Israel di Tebing Barat

(Gambar: Mosab Shawer/AFP)
RAMALLAH: Seorang warga Palestin meninggal dunia di Tebing Barat pada Khamis (9 Jun) setelah ditembak pasukan tentera Israel di bahagian perutnya, menurut kementerian kesihatan Palestin, dalam pertumpahan berdarah terbaru di wilayah itu.
Kementerian tersebut menyatakan Mahmud Fayez Abu Ayhour, 27 tahun, terbunuh di Halhul, utara bandar Hebron. Tentera Israel memberitahu AFP pihaknya sedang menyiasat kejadian itu.
Persatuan Bulan Sabit Merah sebelum ini melaporkan beberapa kes kecederaan susuli pergolakan di Halhul.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tentera Israel menjalankan operasi hampir setiap hari di Tebing Barat dan membuat beberapa penangkapan dalam apa yang mereka disifatkan sebagai "operasi menentang pengganasan".
Operasi terbaru yang dijalankan semalaman menyaksikan sembilan orang ditangkap, menurut tentera Israel.
Seramai 19 orang, kebanyakannya orang awam Israel - termasuk 18 di Israel dan seorang penduduk Yahudi maut dalam serangan oleh penduduk Palestin dan Arab Israel sejak lewat Mac.
Pasukan keselamatan Israel bertindak balas dengan melakukan serbuan di Israel dan di Tebing Barat, khususnya di dalam dan sekitar Jenin. Tiga anggota bersenjata Arab Israel dan komando polis terbunuh.
Seramai 40 warga Palestin maut di Tebing Barat - disyaki militan, namun ada juga yang bukan anggota bersenjata, termasuk seorang wartawan Al Jazeera yang membuat liputan serbuan di Jenin dan mereka yang berada di tempat kejadian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.