Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Kelantan

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Kelantan

(Gambar: Zoo Negara Malaysia/Facebook)

Diterbitkan : 08 Jan 2022 08:16AM Dikemas Kini : 10 Jan 2022 08:16PM

GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau berhampiran Pos Bihai, di Kelantan pada jam 9.00 pagi Jumaat (7 Jan). 

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mangsa dikenali sebagai Anek Bin Along dan berusia 59 tahun.

Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.30 tengah hari daripada kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dan maklumat itu kemudiannya disahkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Berdasarkan maklumat yang diterima kejadian berlaku ketika mangsa keluar membuang air kecil di belakang rumah manakala anak perempuannya sedang menumbuk padi di belakang rumahnya kira-kira pukul 9.10 pagi.

“Ketika itu anak mangsa mendapati bapanya telah tiada dan setelah dipanggil beberapa kali dan mencari di belakang rumah didapati ada kesan darah pada daun-daun pokok berdekatan sebelum memanggil orang kampung untuk mencari bapanya di kawasan hutan dan telah ternampak seekor harimau berdekatan mayat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Encik Sik berkata penduduk dilaporkan membaling lembing ke arah harimau tersebut dan dipercayai terkena di bahagian muka menyebabkan haiwan itu melarikan diri.

Beliau berkata sepasukan anggota daripada Balai Polis Gua Musang ke tempat kejadian pada jam 5.40 petang untuk membawa keluar mayat mangsa yang dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi berkata harimau belang jantan berusia tiga tahun seberat 120 kilogram (kg) berjaya ditembak mati, selepas cuba menyerang anggotanya yang membuat pencarian di kawasan hutan tempat kejadian pada jam 12.15 tengah hari.

Katanya tindakan itu terpaksa dijalankan berikutan harimau belang berkenaan yang meluru ke arah pasukan tangkapan jabatan itu.

“Tindakan ini juga bersesuaian dengan Seksyen 52, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana hidupan liar berkenaan berbahaya kepada nyawa manusia,” katanya.

 

HARIMAU MALAYA "SEMAKIN PUPUS"

Encik Mohamad Hafid memberitahu AFP bahawa pihaknya sedih kerana harus membunuh haiwan itu sebab "harimau (di Malaysia) semakin pupus".

Harimau Malaya itu dikategorikan sebagai haiwan sangat terancam oleh kumpulan perlindungan, Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Serangan ke atas manusia sangat jarang berlaku tetapi insiden sebegini sudah dijangka akan berlaku di kawasan di mana ada pembangunan yang menjejas tempat tinggal haiwan-haiwan tersebut.

Pada pertengahan bulan July, para pegawai renjer menangkap seekor harimau betina berdekatan dengan Gua Musang selepas ia menyerang dan mencederakan seorang warga tempatan.

Sekitar 3,000 harimau Malaya pernah berada di hutan-hutan Malaysia pada tahun 1950-an dan kucing-kucing besar ini dianggap sebagai haiwan kebangsaan Malaysia.

Sungguhpun demikian, jumlah harimau itu semakin berkurangan dalam beberapa dekad ini disebabkan kehilangan tempat tinggal dek pembangunan, peluasan pertanian serta pemburuan haram.

Sumber : Bernama/AFP/NY/FA/ny/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan