Lelaki nyaris maut terjerut tali layang-layang ketika tunggang motosikal di lebuh raya KL
Seorang penunggang motosikal yang sedang melalui lebuh raya di Kuala Lumpur nyaris maut selepas terbelit tali layang-layang pada Ahad (20 Jul).
Luka pada bahagian leher Encik Faris Rosaidee dan pakaiannya yang koyak akibat kejadian tersebut. (Gambar: Facebook/Lim Lip Eng)
Muhammad Faris Rosaidee, 27 tahun, memberitahu portal berita tempatan Harian Metro bahawa beliau merasakan sesuatu menyentuh badannya sebelum bergerak ke atas dan melilit lehernya.
“Saya memakai tiga lapisan pakaian — jaket, kemeja dan saya ada beg galas. Ketiga-tiganya koyak, dan kulit di bahu saya tercedera sedikit,” katanya.
Encik Faris berkata beliau tidak dapat berhenti di lebuh raya itu dan hanya mampu memperlahankan motosikalnya sambil menunggu tali itu putus.
Ahli politik tempatan, Lim Lip Eng, turut memuat naik di Facebook satu video yang dirakam Encik Faris selepas kejadian itu.
Rakaman itu menunjukkan satu layang-layang yang tersangkut pada tiang lampu jalan di lebuh raya tersebut, dan satu lagi layang-layang yang sedang diterbangkan berhampiran. Kamera kemudian dihalakan ke arah Encik Faris, yang menunjukkan kesan melecet pada kulit lehernya.
Beliau turut menunjukkan baju dan jaketnya yang koyak, serta tali beg galas yang kelihatan seakan-akan terpotong.
Encik Lim berkata dalam catatan yang dibuatnya bahawa aktiviti bermain layang-layang berhampiran lebuh raya adalah sesuatu yang “cuai dan berbahaya”, dan beliau sudah meminta pihak berkuasa untuk menilai semula kawasan yang dibenarkan untuk bermain layang-layang.
Encik Faris juga memberitahu Harian Metro bahawa ketika kejadian, beliau memakai penutup muka dan leher, yang mungkin membantu mengurangkan kecederaannya.
“Doktor kata ia hanya menjejaskan lapisan kulit paling luar, seperti kesan melecur… tiada pendarahan, dan saya sudah ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” jelas Encik Faris.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, mengesahkan kejadian itu pada Isnin dan memaklumkan bahawa mangsa mengalami kesan luka akibat geseran tali di leher, lapor Bernama.
Kejadian itu kini disiasat atas kemungkinan melibatkan kesalahan jalan raya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.