Skip to main content

Dunia

Lelaki M'sia ini teruskan tradisi berbalas kad Raya dengan Raja-Raja Melayu, orang kenamaan

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki M'sia ini teruskan tradisi berbalas kad Raya dengan Raja-Raja Melayu, orang kenamaan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 17 Apr 2023 09:05PM
KUALA LUMPUR: Bermula 2017, Adza Danial Haiqal Martias, tidak pernah jemu mengirim kad raya kepada Raja-Raja Melayu, kerabat diraja, termasuk Sultan Brunei dalam usahanya mengekalkan tradisi yang dicontohi daripada ayahnya sejak berusia lapan tahun.

Pada awalnya, Adza Danial Haiqal, 25 tahun, beranggapan tidak mungkin kerabat diraja dan orang kenamaan yang sering sibuk dengan pelbagai urusan, sudi membalas kad raya yang direkanya sendiri sebelum dihantar secara pos itu. 

Hampir setiap hari beliau memeriksa peti surat di rumahnya dan berharap agar ada ‘keajaiban’, sehinggalah beliau menerima balasan kad raya pertama daripada Sultan Pahang, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada 2017, suatu yang tidak disangka sama sekali. 

“Kad raya diraja pertama saya terima ialah daripada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. Saya amat teruja, terpegun dan bangga dengan diri sendiri, sebab berjaya menerima kiriman daripada baginda meski saya bukan rakyat Pahang,” katanya kepada Bernama. 

Benarlah kata-kata “raja dan rakyat berpisah tiada”, pada 2017 dan 2018, Adza Haiqal turut menerima kad raya daripada Sultan Kedah Almarhum Sultan Abdul Halim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Pada 2019, beliau turut menerima balasan kad raya daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Selain itu, beliau turut menerima balasan kad raya daripada Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra dan Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Baginya, menerima kad raya daripada istana dengan tanda tangan Raja-Raja Melayu dan kerabat diraja sebenarnya sungguh menggembirakan serta mengujakan lebih-lebih lagi dalam zaman serba moden ini apabila ucapan Aidilfitri banyak dihantar dan disampaikan secara digital.

“Ini amat meyakinkan saya bahawa raja juga berjiwa rakyat, bukan tidak boleh didekati dan tidak mengenal rakyat. Semangat kesetiaan kepada raja dan negara amat tinggi sehingga saya berminat mempelajari sejarah Raja-Raja Melayu selain hafal semua nama Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

Amalan mengirim kad raya itu diteruskan beliau hingga 2020 sebelum terhenti seketika akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun disambung semula tahun ini dengan sejumlah 38 keping dihantar kepada Raja-Raja Melayu, Menteri Kabinet dan Ahli-Ahli Parlimen Malaysia.

Anak pertama kepada pasangan penulis skrip Allahyarham Martias Mohd Ali dan Adza Irdawati Adenan itu, berkata beliau belajar selok belok gaya penulisan bahasa istana bagi memastikan laras bahasa yang digunakan bersesuaian, selain menghantar kad raya tersebut lebih awal seeloknya menjelang Ramadan. 

Beliau berkata, selain kad raya, beliau juga pernah mengirim surat rasmi dan menerima kiriman balas berbentuk poskad daripada Istana Kensington di London pada 2017 susulan pengumuman kehamilan anak ketiga Putera William dan pada ulang tahun keputeraan Putera Harry.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita