Lelaki M'sia dilaporkan hilang selepas larian maraton di Oman; jenazah dikenal pasti di hospital 4 hari kemudian
Seorang lelaki rakyat Malaysia ditemui mati di sebuah hospital di Oman, empat hari selepas beliau dilaporkan hilang setelah menyertai larian maraton di bandar itu pada Sabtu lalu (12 Nov).

(Gambar: Facebook/Perniagaan Akaya)
SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Malaysia ditemui mati di sebuah hospital di Oman, empat hari selepas beliau dilaporkan hilang setelah menyertai larian maraton di bandar itu pada Sabtu lalu (12 Nov).
Berita tentang kehilangan arwah Hamdan Abdul Shukor sebelum ini disebarkan di laman Facebook 'Perniagaan Akaya' dalam satu catatan pada tengah hari Selasa (15 Nov).
Berita tentang pemergian arwah pula dikhabarkan dalam catatan susulan pada lewat petang semalam.
Arwah Hamdan A. Shukor merupakan anak saudara kepada Pengurus Eksekutif dan Konsultan Kanan SuChi Success Initiatives Pte Ltd, Encik Mohamed Khair Mohd Nor, yang berpangkalan di Singapura.
Encik Mohamed Khair memberitahu BERITAmediacorp melalui kiriman WhatsApp hari ini (16 Nov) bahawa keluarganya hanya mendapat berita yang mengesahkan tentang pemergian arwah semalam selepas jenazahnya dikenal pasti oleh rakan sekerjanya di sebuah hospital di Oman.
Menurut Encik Mohamed Khair, anak saudaranya bertugas sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas tempatan di Oman selama sekitar 5 tahun.
Menurut beliau lagi, Encik Hamdan berada di ibu kota Oman bagi menyertai acara Maraton Al Mouj Muscat yang diadakan pada 11 dan 12 November.
Menurut catatan Facebook 'Perniagaan Akaya', arwah dilaporkan menyertai kategori larian 5 kilometer pada Sabtu lalu dan gagal dihubungi oleh teman-temannya selepas itu.
Menurut catatan sama, arwah sepatutnya pulang ke rumahnya di Sohar, Oman selepas menyertai acara larian itu seorang diri.
Kali terakhir beliau dapat dihubungi adalah pada pukul 8.00 pagi selepas selesai acara larian maraton itu.
Dalam panggilan telefon kepada BERITAmediacorp, Encik Mohamed Khair berkata apabila arwah tidak datang ke kerja pada Isnin (14 Nov), isteri arwah menghubungi setiap hospital di sekitar bandar Muscat.
Hanya selepas berita kehilangan arwah Hamdan disebarkan di laman Facebook 'Perniagaan Akaya', keluarga arwah mendapat tahu perkembangan lanjut.
Encik Mohamed Khair menambah, rakan sekerja Encik Hamdan yang berada di Oman menerima panggilan dari sebuah hospital yang terletak di luar kawasan Muscat semalam bagi mengesahkan jenazah arwah Hamdan.

Namun, keluarga mereka masih belum mendapat maklumat lanjut mengenai apa yang berlaku kepada Encik Hamdan.
Bagaimanapun, Encik Mohamed Khair berkata dalam kiriman mesej yang dihantar oleh rakan kerja arwah, beliau mendapat maklumat daripada orang awam bahawa Encik Hamdan dipercayai mengalami sesak nafas ketika sedang memandu pulang setelah larian maraton pada Sabtu.
Arwah kemudian dibawa ke sebuah hospital berdekatan yang terletak di kawasan luar bandar Muscat.
Kesemua ahli keluarga arwah sudah pun berlepas ke Oman pagi tadi bagi menguruskan pengebumian arwah di sana.
Arwah meninggalkan seorang balu dan empat orang anak berusia antara 7 dengan 15 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.