Lelaki maut disimbah asid: 7 suspek termasuk isteri ditangkap
Isteri kepada seorang lelaki yang meninggal dunia dipercayai akibat disimbah asid dalam kejadian pada pukul 3.31 pagi pada Sabtu lalu (23 Jan) di Taman Pulai Impian, Sikamat direman bagi membantu siasatan kes.

SEREMBAN: Isteri kepada seorang lelaki yang meninggal dunia dipercayai akibat disimbah asid dalam kejadian pada pukul 3.31 pagi pada Sabtu lalu (23 Jan) di Taman Pulai Impian, Sikamat direman bagi membantu siasatan kes.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim dalam kenyataan hari ini (29 Jan) berkata selain wanita berkenaan, enam lelaki turut direman.
“Kesemua tujuh suspek berumur 15 hingga 41 tahun itu yang ditahan menerusi beberapa siri penangkapan, direman hingga Selasa depan (2 Feb),” katanya.
ACP Mohd Said berkata polis menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pada 23 Jan lalu dan siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 43 tahun itu mengalami 30 peratus kecederaan akibat melecur disimbah cecair dipercayai asid.
Bagaimanapun, mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban disahkan meninggal dunia pada pukul 11.00 malam pada Khamis (28 Jan).
Mohd Said berkata kes diklasifikasi sebagai pembunuhan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.