Skip to main content

Dunia

Lelaki maut dibawa arus air bah; korban pertama banjir di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki maut dibawa arus air bah; korban pertama banjir di M'sia

(Gambar: Polis Daerah Kluang/Facebook)

Diterbitkan : 01 Mar 2023 09:15PM

KLUANG: Seorang lelaki warga Malaysia menjadi korban pertama banjir di Malaysia setelah ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta di Jalan GSA Chamek, Paloh di Kluang pada tengah hari Rabu (1 Mac). 

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata mangsa yang berusia 20-an tahun itu, dipercayai dibawa arus banjir ketika sedang memandu keretanya di lokasi kejadian, kira-kira pukul 7.20 pagi Rabu.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang kelapa sawit berhampiran.

“Usaha mengesan mangsa terus dilakukan dan pada pukul 12.20 tengah hari, sebuah kereta jenis Toyota Avanza telah ditemui dengan keadaan ditenggelami banjir.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut telah menjumpai seorang lelaki dan didapati telah meninggal dunia. Mayat tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu. 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat menafikan terdapat kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus seperti yang didakwa dalam satu video tular di aplikasi TikTok.

”Polis Kontinjen Johor mengesahkan kejadian tidak berlaku di negeri Johor dan dipercayai telah berlaku di luar negara.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak menyebarkan berita atau mesej palsu yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada masyarakat. Mana-mana pihak yang menyebarkan berita atau mesej palsu boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. 

Video sepanjang 20 saat yang memaparkan kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus itu dipercayai bertarikh 12 Disember tahun lalu, tular di media sosial sejak Selasa (28 Feb).

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita