Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki maut akibat dijangkiti ameba ‘pemakan otak’

Baru-baru ini, seorang lelaki rakyat Amerika Syarikat dilaporkan meninggal dunia akibat dijangkiti 'Naegleria fowleri' yang juga dikenali sebagai "ameba yang memakan tisu otak", iaitu sejenis jangkitan yang disebabkan oleh air tawar yang memasuki ke dalam hidung.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki maut akibat dijangkiti ameba ‘pemakan otak’

Fabrizio Stabile dari Ventnor, New Jersey meninggal dunia akibat dijangkiti 'Naegleria fowleri'. (Gambar: The Fabrizio Stabile Foundation/menerusi Gofundme)

Diterbitkan : 22 Oct 2018 06:37PM Dikemas Kini : 22 Oct 2018 06:43PM

TEXAS: Baru-baru ini, seorang lelaki rakyat Amerika Syarikat dilaporkan meninggal dunia akibat dijangkiti 'Naegleria fowleri' yang juga dikenali sebagai "ameba yang memakan tisu otak", iaitu sejenis jangkitan yang disebabkan oleh air tawar yang memasuki ke dalam hidung.

Fabrizio Stabile, 29 tahun, dari Ventnor, New Jersey sedang memotong rumput di halaman rumahnya pada 16 September apabila beliau mengalami sakit kepala, menurut laman GoFundMe dan obituarinya.

Keadaan Encik Stabile menjadi bertambah teruk dan beliau dikejarkan ke hospital selepas didapati tidak boleh bertutur dengan jelas. Ujian tebukan lumbar mendapati bahawa beliau dijangkiti sejenis ‘ameba pemakan otak’.

Encik Stabile malangnya meninggal dunia pada 21 September.

Kes itu merupakan kes jangkitan pertama yang disahkan di Amerika Syarikat sejak 2016, menurut Dr Jennifer Cope, seorang ahli epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

New York Times menukil Kelly Craine, jurucakap Daerah Kesihatan Awam Waco-McLennan County sebagai berkata bahawa Encik Stabile jatuh sakit setelah mengunjungi BSR Cable Park and Surf Resort, iaitu sebuah taman luncur air di Waco, Texas.

INGIN TAHU TENTANG NAEGLERIA FOWLERI?

Naegleria fowleri adalah sejenis ameba yang boleh menyebabkan jangkitan yang dikenali sebagai meningoensefalitis ameba asas (PAM), iaitu keradangan pada bahagian otak yang biasanya boleh membawa maut.

Ameba itu memasuki tubuh seseorang melalui hidung sehingga ke bahagian otak. Jangkitan itu biasanya berlaku apabila seseorang berenang di tasik atau sungai, menurut CDC seperti yang dipetik oleh New York Times.

Ameba itu juga dikenali sebagai 'ameba pemakan otak' kerana ia akan memusnahkan tisu otak sejurus selepas menjangkitinya.

APAKAH TANDA-TANDA JANGKITAN?

Tanda-tanda jangkitan termasuk sakit kepala, rasa loya, muntah-muntah dan kecelaruan - semuanya tanda-tanda yang sering dialami oleh mereka dengan sebarang jenis meningitis atau keradangan, kata Dr Cope.

Para pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana mengalami tanda-tanda tersebut perlu memaklumkan doktor sekiranya mereka pernah berenang dalam kolam air tawar, kata beliau.

KEMATIAN AKIBAT JANGKITAN PAM

Jangkitan itu jarang sekali berlaku namun ia biasanya menyebabkan kematian, menurut CDC. Sebanyak 143 jangkitan berkenaan dilaporkan di Amerika Syarikat dari 1962 hingga 2017. Kesemua kecuali empat kes membawa maut dengan lebih separuh kes berlaku di Texas dan Florida, menurut laporan New York Times.

ELAK JANGKITAN PAM

Sebahagian besar jangkitan itu berlaku apabila seseorang berenang di tasik atau sungai. Langkah-langkah yang harus diambil oleh para perenang atau penyelam untuk mengelakkan jangkitan ameba itu termasuk memastikan agar air tidak memasuki hidung mereka.

Maka itu, berhati-hatilah ketika berenang di sungai.  

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan