Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki Malaysia ini tidak segan kerja sebagai pekerja pembersihan di SG

Anggaran Waktu Membaca:
ISKANDAR PUTERI: Walaupun pernah dipandang rendah, ditanya soalan berbaur sindiran yang mempersoalkan kerjanya sebagai pekerja pembersihan di Singapura, pemuda ini langsung tidak berkecil hati atau sedih.

Sebaliknya, Shahril Nizam Suhaimi, 25 tahun, selesa dengan kerjayanya ketika ini biarpun mengakui pada mulanya beliau juga bimbang berhadapan sentimen orang yang masih melihat kerja sebagai pekerja pembersihan sebagai pekerjaan kelas bawahan.

Menerusi platform TikTok, bapa kepada seorang anak itu berkongsi pengalaman kerjanya sebagai pekerja pembersihan di Pulau Bukom, Singapura sejak lebih setahun lalu dan meraih perhatian netizen di akaunnya.

Shahril Nizam berkata, beliau sudah bekerja di Singapura hampir tiga tahun lalu dan tugas sebagai pekerja pembersihan adalah kerja kedua selepas beliau berhenti kerja sebagai pembantu restoran, lapor Harian Metro.

Menurutnya, beliau memilih bekerja di Singapura untuk mencari wang tambahan sebagai persediaan untuk majlis perkahwinannya tahun lalu dan berulang-alik dari Gelang Patah, Iskandar Puteri, ke Singapura hampir setiap hari.
 
"Sebelum ini saya berniaga makanan tetapi perniagaan kurang baik jadi saya pilih ke Singapura, kebetulan kakak ipar juga bekerja di sini. Saya kerja di restoran sebelum berhenti kerja dan cuba cari pelbagai kerja baharu tetapi tak berjaya.

"Saya menganggur tiga hingga empat bulan juga sebelum ditawarkan kerja sebagai pekerja pembersihan. Pada mulanya saya segan juga sebab kita tahu kerja itu mempunyai sentimen yang selalu dipandang rendah dan kita pula masih muda.

"Tetapi saya fikir ini rezeki terbaik saya dan cuba melakukan kerja itu dengan baik selain faktor pendapatannya juga agak lumayan walaupun tak pernah terfikir mahu bekerja sebagai pekerja pembersihan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, beliau suka berkongsi aktiviti kerja di TikTok sebagai kenangan dan mengakui menerima komen-komen yang menghakimi kerjanya itu, termasuk ada yang tidak percaya beliau bekerja sebagai pekerja pembersihan kerana memperolehi keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lapan tahun lalu.

"Ada yang komen cakap 'oh pekerja pembersihan je' tetapi bila dia tahu saya kerja di Singapura dia pula bertanya kerja kosong. Ada juga tanya kenapalah tak cari kerja lain atau kerja kerajaan sedangkan saya tak kisah pun asalkan sumber saya halal.

"Orang tak tahu sudah banyak kali cuba dan pergi temu duga tetapi bukan rezeki saya jadi saya hargai rezeki yang Allah bagi ketika ini. Saya tak sambung belajar pula kerana masalah kewangan dan sekarang sudah stabil sedikit," seperti dinukil Harian Metro.

"Tetapi saya fikir walaupun tidak dapat banggakan keluarga dengan pelajaran sekurang-kurangnya saya dapat banggakan mereka dengan menjadi anak yang boleh berbakti dan dapat juga berikan ibu bapa wang saku," katanya, dengan mengakui keluarga dan keluarga mentua sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Bercerita mengenai tugasnya, Shahril Nizam berkata, beliau akan keluar bekerja seawal pukul 5.00 pagi dan tiba di Pulau Bukom dua jam selepas itu sebelum memulakan tugasnya mencuci, membersihkan dan mengemas ruang pejabat.

"Selain itu saya akan cuci tandas, pantri, gim, tangga dan membuang sampah sebelum waktu kerja tamat pukul 4.00 petang dan kalau kerja lebih masa sehingga pukul 7.00 malam. Setakat ini orang di sini tidak pernah memandang rendah kepada kami.

"Mereka selalu berkongsi makanan, kadang-kadang berikan tips dan selalu disapa. Saya tak malu dengan tugas saya dan di sini walaupun pekerja pembersihan gaji dibayar mengikut kelayakan, saya dibayar S$2,400 (RM7,990) termasuk kerja lebih masa," katanya, seperti dilaporkan Harian Metro.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan