Skip to main content

Dunia

Lelaki Malaysia dihukum penjara 10 tahun atas kematian kanak-kanak selepas terpijak dadanya

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki Malaysia dihukum penjara 10 tahun atas kematian kanak-kanak selepas terpijak dadanya

Seorang individu digari. (Gambar: iStock)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Malaysia berusia 33 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat selepas secara tidak sengaja membunuh anak perempuan teman wanitanya, yang berusia tiga tahun, selepas terpijak dada kanak-kanak itu.

Insiden itu berlaku semasa dia memasuki bilik yang dalam keadaan gelap untuk memberi makan kepada kanak-kanak itu.

Ahmad Ashraf, seorang teknisyen yang ketika itu mempunyai berat badan 138 kilogram, menjaga kanak-kanak tersebut pada 20 Julai 2022 di rumahnya di Kota Tinggi, sementara teman wanitanya menerima rawatan di hospital.

Menurut akhbar bahasa Cina tempatan Sin Chew Daily, kanak-kanak itu mula mengalami kesukaran bernafas dan Ashraf segera menyalakan lampu serta cuba memberi bantuan kecemasan sebelum membawanya ke hospital.

Mangsa bagaimanapun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, lapor Sin Chew Daily, seperti dinukil South China Morning Post.

Beliau menyerah diri kepada polis pada hari yang sama.

Semasa hukuman dijatuhkan pada Khamis, Ashraf, yang kini dilaporkan lebih kurus, mengaku bersalah atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Pihak pendakwa menuntut hukuman penjara tidak kurang daripada 12 tahun.

Hakim mengambil kira faktor-faktor meringankan hukuman, termasuk kerjasama Ashraf dalam siasatan tersebut dan ketiadaan unsur keganasan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Ashraf memohon maaf kepada teman wanitanya dan amat menyesali tragedi tersebut.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita