Skip to main content

Dunia

Lelaki Malaysia didakwa kerana selia pusat panggilan penipuan Kemboja sasar rakyat SG

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki Malaysia didakwa kerana selia pusat panggilan penipuan Kemboja sasar rakyat SG
Lelaki warga Malaysia, Bernard Goh Yie Shen dipercayai merupakan ahli kumpulan jenayah terancang yang berpusat di Phnom Penh, Kemboja, yang dikatakan terlibat dalam penipuan penyamaran sebagai pegawai pemerintah yang menyasarkan mangsa rakyat Singapura. (Gambar: SPF)
Diterbitkan : 18 Nov 2025 06:16PM Dikemas Kini : 18 Nov 2025 06:18PM
SINGAPURA: Seorang lelaki warga Malaysia didakwa di mahkamah pada Selasa (18 Nov) kerana menyelia operasi pusat panggilan penipuan di Kemboja yang menyasarkan mangsa di Singapura.

Bernard Goh Yie Shen, 24 tahun, didakwa atas tuduhan di bawah Akta Jenayah Terancang kerana membuat tindakan yang diketahui boleh memudahkan penipuan dijalankan di Singapura.

Penyeliaan beliau terhadap pusat panggilan di Phnom Penh didakwa turut menyokong tujuan haram kumpulan jenayah terancang, atau sindiket, yang mempunyai kaitan tempatan, menurut tuduhan itu.

Goh diekstradisi dari Kemboja dan dipercayai merupakan anggota sindiket yang didakwa menjalankan penipuan penyamaran sebagai pegawai pemerintah terhadap mangsa di Singapura.

Sindiket itu dipercayai bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 438 kes sedemikian, melibatkan kerugian sekurang-kurangnya S$41 juta, menurut kenyataan polis.

Sindiket itu beroperasi dari sebuah kawasan penipuan di Phnom Penh, dan diserbu semasa operasi bersama oleh Polis Singapura (SPF) dan Polis Kebangsaan Kemboja pada September tahun ini.

Goh diekstradisi ke Malaysia, di mana beliau ditangkap dan diserahkan kepada SPF.

Dia didakwa di mahkamah sehari selepas dua warga Singapura didakwa sebagai pemanggil penipuan di Kemboja.

Goh turut direman bagi siasatan.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun, denda sehingga S$100,000, atau kedua-duanya sekali.

Seramai 31 suspek masih belum diberkas, termasuk rakyat Singapura dan Malaysia.

Individu yang dipercayai ketua sindiket itu, rakyat Singapura Ng Wei Liang, adalah salah seorang daripada mereka yang masih belum ditangkap.
Sumber : CNA/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita