Skip to main content

Dunia

Lelaki Jepun dijel seumur hidup kerana tikam penumpang di kereta api laju

Seorang lelaki Jepun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Rabu (18 Dis) selepas menyerang penumpang di dalam kereta api laju pada 2018, menyebabkan seorang terbunuh manakala dua lagi cedera. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki Jepun dijel seumur hidup kerana tikam penumpang di kereta api laju

Ichiro Kojima, 23 tahun, dihukum penjara seumur hidup. (Gambar: Kyodo/via REUTERS)

Diterbitkan : 18 Dec 2019 10:50PM Dikemas Kini : 18 Dec 2019 10:53PM

TOKYO: Seorang lelaki Jepun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Rabu (18 Dis) selepas menyerang penumpang di dalam kereta api laju pada 2018, menyebabkan seorang terbunuh manakala dua lagi cedera. Serangan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan di saat Tokyo sedang bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020.

Pihak pendakwa menuntut Ichiro Kojima, 23 tahun, dihukum penjara seumur hidup setelah dia mengaku melakukan jenayah itu di dalam kereta api laju, antara Tokyo dan Osaka kerana didorong rasa kecewa.

Semasa perbicaraan Kojima, media Jepun melaporkan bahawa Kojima berkata bahawa hukuman penjara "adalah idaman" yang sangat dialu-alukan.

Serangan tikaman itu mencetuskan perbincangan hangat di Jepun, khususnya mengenai langkah yang perlu diambil dalam meningkatkan tahap keselamatan pengguna kereta api laju, serentak dengan jumlah pelancong yang ramai ketika Sukan Olimpik Musim Panas Tokyo tahun depan.

Jepun masih mengekalkan hukuman mati namun pihak pendakwa tidak memohon ia dikenakan ke atas Kojima yang berusia 21 tahun ketika serangan tersebut dilakukan.

Dua wanita cedera akibat ditikam dalam insiden berkenaan, manakala Kotaro Umeda, 38 tahun, maut selepas cuba menghentikan serangan pemuda itu.

Perkhidmatan kereta api laju Jepun buat sekian lama terkenal dengan tahap keselamatan yang tinggi. Bagaimanapun ia mula dipersoalkan pada 2015, apabila seorang lelaki bertindak membakar dirinya sendiri dan turut meragut nyawa seorang lagi penumpang - insiden yang mendorong pemasangan kamera pemantau di kesemua gerabak kereta api.

Serangan yang dilakukan Kojima juga mencetuskan perdebatan mengenai langkah paling sesuai untuk meningkatkan tahap keselamatan dan pada masa sama, memastikan jadual perjalanan kereta api berjalan lancar tanpa gangguan

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita