Lelaki ini pakar kesan tanah jerlus sebelum ia berlaku
Sebuah unit radar canggih yang dipasang pada sebuah van bergerak perlahan di laluan yang sunyi.
Pengasas DECOD Science & Technology, Zhi Haiyan, meneliti imbasan 3D masa nyata yang menunjukkan keadaan bawah tanah. (Gambar: CNA/Melody Chan)
Tujuannya adalah untuk mengimbas dan mengesan sebarang anomali dan risiko bawah tanah sebelum ia menjadi tanah jerlus.
Rakaman secara langsung disiarkan dari dalam kenderaan itu.
“Ia seperti pemeriksaan kesihatan, tetapi untuk infrastruktur,” kata jurutera dan pengasas DECOD Science & Technology, Zhi Haiyan, syarikat berpangkalan di Singapura yang kini menjalankan projek perintis sistem tersebut di Shenzhen.
Menyusuli kejadian tanah jerlus yang berlaku di Singapura, Kuala Lumpur, Seoul dan beberapa bandar di CHina, teknologi baharu seumpamanya memainkan peranan utama bagi mengesan kemungkinan berlaku tanah jerlus sebelum ia benar-benar berlaku.
Ditubuhkan di Singapura pada 2003 dengan sokongan Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB), DECOD kini diiktiraf secara meluas di China sebagai perintis dalam teknologi radar penembuasan tanah (GPR).
Encik Zhi pernah digambarkan oleh wadah media tempatan 'People's Daily' sebagai 'tokoh utama' dalam memajukan teknologi GPR bagi sektor infrastruktur kritikal.
Encik Zhi, 66 tahu dilahirkan di China dan memperoleh kerakyakatan Singapura pada 2011.
Beliau menamatkan pengajian di Universiti Tsinghua pada 1983 dengan kelulusan dalam bidang Teknologi Radio dan Sistem Maklumat.
Sebelum menubuhkan DECOD, Encik Zhi bekerja dalam sektor aeroangkasa China dalam bidang penyelidikan dan pengembangan GPR.
Pada 2022, beliau menubuhkan usaha sama di Shenzhen untuk memperluaskan penggunaan teknologi itu dalam pasaran China, dengan Singapura sebagai pangkalan bagi pengembangan global.
Ujian rintis itu dimulakan kejadian lebuh raya runtuh di Guangdong pada Mei lalu, yang mengorbankan 52 orang dan menyebabkan lagi 30 orang cedera apabila sebahagian lebuh raya itu runtuh semasa hujan lebat.
Setiap hari selama lebih tujuh jam, kenderaan yang dilengkapi radar DECOD mengimbas jalan-jalan raya di seluruh daerah itu.
Setakat ini, sistem tersebut sudah mengenal pasti lebih 100 anomali bawah tanah, termasuk ruang kosong, zon delaminasi di mana lapisan struktur terpisah, serta tanah longgar.
Syarikat itu juga bekerjasama dengan sebuah kumpulan lapangan terbang di barat China untuk memeriksa lebih 30 landasan kapal terbang.
Ia turut bekerjasama dengan penyelidik kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketepatan pengesanan radar, kata Encik Zhi.
Matlamatnya ialah untuk melatih algoritma untuk mentafsir imbasan radar secara automatik dan menetapkan tahap risiko menggunakan paparan visual berwarna yang dipautkan dengan GPS, tambahnya.
“Akhirnya, kami harap pihak berkuasa bandar boleh bertindak balas terhadap amaran secara langsung tanpa memerlukan pasukan teknikal untuk mentafsir setiap imbasan.”
Selepas kejayaan di China, syarikat itu kini kembali menumpukan perhatian ke arah Singapura sebagai persediaan untuk pengembangan global.
“Model Negara Bijak Singapura adalah contoh terbaik bagaimana infrastruktur boleh dipantau seakan-akan pemeriksaan kesihatan – masalah boleh dikesan dan dibaiki awal,” kata Encik Zhi.
“Kami mahu membuktikan bahawa sistem radar kami boleh menjadi sebahagian daripada proses diagnosis ini.”
Syarikat itu menyatakan bahawa ia sedang berbincang dengan beberapa agensi di Singapura seperti Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan ST Engineering bagi kemungkinan pelaksanaan projek perintis melibatkan imbasan jalan secara rutin, pemantauan struktur bawah tanah atau penyepaduan dengan sistem perancangan bandar.
“Singapura ialah prototaip yang ideal – ia kecil, padat, sangat membangun dan berpandangan jauh,” tambah beliau.
“Ia juga diyakini di peringkat antarabangsa, sesuatu yang penting jika anda mahu bawa (produk anda) ke pasaran global.”
“Kami mahu membantu bandar-bandar di seluruh dunia memantau kesihatan infrastruktur mereka,” ujar Encik Zhi.
“Tetapi kami juga mahu tunjukkan betapa berkesannya teknologi ini jika digunakan bagi tujuan pencegahan, bukan hanya sebagai tindak balas.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.